Isnin, 25 Julai 2011

Laman web, blog dan Facebook sekadar media murahan


TIDAK ramai yang mengenali Amizudin Ahmat sebelum ini. Dia sekadar penulis blog yang tulisannya kurang mendapat perhatian umum. Tetapi gara-gara ‘laporan’ yang dimuatkan dalam blognya, dia akhirnya disebut dan ada yang mempercayai kebenarannya.



Bagaimanapun, pengendali laman sharpshooterblogger.blogspot.com yang diheret ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terpaksa akur kepada kebenaran fakta. Dalam bidang kewartawanan, ketepatan dan kesahihan fakta bakal menentukan kewibawaan sesebuah berita dan rencana. Hal ini yang membezakan kewartawanan sebenar dengan penulis blog, portal berita dan catatan di facebook.
Tradisi kewartawanan yang ada di media arus perdana dan stesen penyiaran berdasarkan fakta dan etika, berbeza tulisan di laman web dan blog yang boleh menulis apa saja, termasuk menuduh seseorang melakukan perbuatan rogol atau bunuh tanpa sebarang bukti.
Amizudin diarah membayar Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim RM400,000 berhubung satu artikel berkaitan dakwaan merogol pembantu rumah Indonesia.

Pada 1 Januari lalu, Rais memfailkan saman terhadap Amizudin, 42, yang juga ahli jawatankuasa Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blognya pada 28 Disember lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Zabariah Mohd Yusof, berkata selepas mengambil kira fakta dan bentuk fitnah yang dilakukan oleh Amizudin dalam blognya dan juga nilai wang semasa, jumlah yang diberikan kepada Rais adalah munasabah.

Hakim mendapati fitnah yang dibuat itu adalah sangat serius, dan jika seseorang itu mempercayainya, bukan saja reputasi Rais akan terjejas pada peringkat nasional dan antarabangsa, tetapi yang lebih penting ialah kesannya terhadap kehidupan Rais dan keluarga. Mahkamah memutuskan tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan Rais dengan perbuatan salah laku sehingga mendorong Amizudin mengeluarkan artikel berkenaan.
Zabariah berkata, fitnah itu membabitkan perbuatan merogol seorang individu dari negara lain dan ini satu tuduhan paling kotor yang dibuat terhadap seseorang.

Katanya, artikel itu diterbitkan dalam satu laman blog yang dapat diakses oleh sesiapa saja, termasuk di luar negara.

Kes terbaru ini membuktikan isu blog dan internet tidak pernah reda. Penulis bebas menulis apa saja seolah-olah mereka mengetahui setiap kejadian dan boleh berperanan sebagai hakim untuk menentukan seseorang melakukan kesalahan.

Sebelum ini seorang kerani bank menjadi individu pertama disabitkan kesalahan menggunakan aplikasi lucah menerusi internet bagi tujuan komersial, didenda RM30,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Klang pada 27 Mei lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman terhadap Tajulzairi Tajuddin, apabila dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial.

Seorang belia berusia 29 tahun pula ditahan di Kelantan selepas tulisan dalam blognya menghina Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar. Selepas dua hari menyembunyikan diri, penulis blog Adukataruna, akhirnya ditahan di Kota Bharu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Dia disiasat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 0gos 2008, penulis blog Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, ditahan kerana meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam blognya yang disifatkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai penghinaan kepada pasukan itu dan cubaan menghasut orang ramai membenci polis.

Penulis dan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin pula ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada September 2008 kerana didapati boleh mengganggu dan mengancam keselamatan serta ketenteraman awam.

Seorang lagi penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditahan mengikut Akta Hasutan pada September 2008 kerana membuat cadangan di laman blognya supaya bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan negara.

Semua mereka yang dikaitkan di atas tidak mempunyai latar belakang kewartawanan dan perundangan. Mereka menjadikan blog sebagai senjata untuk menulis apa saja, termasuk menghina dan mencerca peribadi orang lain, termasuk insan yang sudah meninggal dunia.

Jika internet yang sepatutnya digunakan untuk menyebarkan maklumat diseleweng, kita tidak tahu bagaimana pembaca boleh menghargai sebarang bentuk tulisan yang boleh memberi kesan kepada masyarakat itu sendiri.

Amat malang jika teknologi maklumat disalah guna kerana ledakan media penyiaran sepatutnya seiring perkembangan tamadun manusia itu sendiri.

Penulis juga mendapati beberapa catatan di facebook tidak terkecuali mempunyai unsur yang boleh dikaitkan dengan Akta Hasutan. Isu perhimpunan haram 9 Julai disensasikan. Ada yang menggunakan facebook untuk mengecam pihak yang bertentangan fahaman politik. Tidak terkecuali juga media sosial menjadi alat menjatuhkan hukuman kepada pihak lawan.

Jika keadaan ini berterusan, laman web, blog dan facebook sekadar media murahan yang bertentangan konsep sebenar media baru. Kita tentunya rugi jika tradisi kewartawanan diperlekehkan oleh segelintir golongan yang jahil. Tentunya lebih rugi jika penulis tidak berilmu terus kekal dengan laporan yang tidak manusiawi!bharian

11 ulasan:

Unknown berkata...

tulah kan..
nak menulis kena lah pada tempatnya, masalahnya mmg blog dapat dibaca dimana2 baik dalam atau l.negara..

yang buat masalah, negara lain akan kutuk cara hidup masyarakat kita...


PS: so.. kita update yang biasa2, asal bertemu sahabat blogger y sudi bertukar2 fikiran.. kan?

khadijah berkata...

jadinye ape bile kite hendak menulis sesuatu fikirla terlebih dahulu.. jangan terlalu mengikut perasaan, akhirnye hidop sendiri yang merane kan

Izzati Liyana Sabri berkata...

bahaya tu. kena sentiasa berwaspada. fikir betul-betul sebelum menulis. jangan sampai membinasakan diri sendiri.

singgah sini da follow. jemput singgah blog saya pula okeh.

http://izzatiliyanasabri.blogspot.com/

Ummi Hanie berkata...

tu lah..jgn main sedap menulis nak main hot keyword jer last2 kne cekup.. hishhh

Suzie berkata...

Yelah ...bukan nak menulis je nak bercakap pun kena lah jaga kan.Kalau orang yang kita dok kata-kata tu tak buat kan dapat dosa.Berbloglah untuk keredhaan Allah.....

ct N honey berkata...

@Citarasa Rinduan
saya buat entry yg benar2 faham jln ceritanya..bukan copy paste aje tapi sebenarnya tak tahu apa sebenarnya berita tersebut

ct N honey berkata...

@khadijah
sia2 pula kena saman,klu seringgit dua tak pe gak,ini ribu2...

ct N honey berkata...

@Suzie
ct sokong..jangan nanti kita yg dpt dosa menyebarkan berita palsu

ct N honey berkata...

@Ummi Hanie @ AnNisa Fadzil
byak tu kena saman..mmg tak termampu, ini gila seo lah ni

ct N honey berkata...

@.izzati liyana.
jgn sedap tulis aje..biar betul2 dari sumber yg sah

Shah Blogger Profile Test berkata...

aduh cukup kesian...
harap jadi panduan pd blogger lain termasuk saya sendiri sebagai landasan menulis blog. Biar la hot, panas janji ianya btl2 sahih. jgn sampai ada unsur fitnah dan apa2 unsur yg boleh membabitkan kita dalam kecimpung saman menyaman dan gelumang dosa sbb perkataan yg kita tulis.
nahuzubillah!