Isnin, 31 Oktober 2011

Nyamuk gajah VS Nyamuk Aedes?

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melepaskan kira-kira 400 nyamuk gajah atau Toxorhynchites (Toxo) dewasa di kawasan hutan Jalan Bestari 2, Kampung Sri Aman di sini, dalam usaha mengurangkan pembiakan nyamuk Aedes dan mencegah penyakit demam denggi di kampung terbabit.

 Nyamuk Gajah atau Toxorhynchites 
Ia dijalankan di bawah Program Pengawalan Pembiakan Nyamuk Aedes Menggunakan Nyamuk Toxo dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan bank CIMB yang memperuntukkan sebanyak RM60,000 bagi menjayakan program berkenaan.

Kampung Sri Aman dipilih sebagai lokasi melalui hasil pemantauan dari 27 Jun hingga 10 Oktober lalu oleh pihak USM. Dalam pemantauan menggunakan teknik Ovitrap yang dipasang lima hari sebelum dan tujuh hari selepas fogging dijalankan, USM mendapati terdapat banyak pembiakan nyamuk Aedes.

Ahli Majlis MPSJ merangkap Pengerusi JKP Zon 12, Mohd Nasir Yusoff, berkata Kampung Sri Aman mencatatkan 11 kes demam denggi dengan enam daripadanya sah positif sejak awal tahun lalu.

“Program ini diharap menjadi contoh kepada zon lain di dalam kawasan MPSJ termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) lain dalam menangani penyakit demam denggi di kawasan masing-masing,” katanya pada Pelancaran Skuad Denggi JKP Zon 12 dan Pelepasan Nyamuk Toxorhynchites 2011 di Balai Masyarakat Kampung Sri Aman di sini, kelmarin.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok Suh Sim; Pengarah Jabatan Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohd Hussin dan Dekan Fakulti Pengajian Kaji Hayat USM, Prof Abu Hassan Ahmad.

Abu Hassan berkata, USM menerusi Unit Kawalan Vektor sudah membiakkan nyamuk Toxo sejak 20 tahun lalu selepas mendapati nyamuk berkenaan mampu mengurangkan pembiakan nyamuk aedes sekali gus mencegah demam denggi.

“Nyamuk Toxo hanya memakan madu bunga dan jentik-jentiknya akan memakan jentik-jentik nyamuk Aedes. Ia hidup di dalam kawasan hutan hijau dan kerana itulah kita memilih kawasan berhutan untuk melepaskan nyamuk dewasa ini yang akan menetaskan jentik-jentiknya dalam tempoh 3 hingga 4 minggu.

“Pemantauan selepas sebulan pelepasan akan dibuat menggunakan alat khas yang dikenali sebagai Alat Memerangkap Jentik-Jentik Nyamuk (MLTD) bagi memastikan jumlah jentik-jentik aedes yang terdapat di situ,” katanya.

Sementara itu, seramai 10 wakil JKP dan 20 wakil penduduk Kampung Sri Aman dipilih sebagai Skuad Denggi bagi mengingatkan penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran premis mereka bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Skuad ini dilengkapkan dengan pelbagai peralatan bagi menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah dan mengadakan gotong-royong.

Marilah kita sama-sama menyokong Kempen Moh Ganyang Aedes





4 ulasan:

bluedianthus berkata...

Bagus info ni. Selalunya ramai yang abaikan je bab2 kesihatan ni.

Rosalia berkata...

nice info :)

Suzie berkata...

Rumah mak kat kampung banyak nyamuk gajah ni memang besar-besar .Tapi kalau banyak nyamuk gajah ni nyamauk yng gatal tu tak gigit kita

ridoma berkata...

kita cabut je gigi nyamuk tu..bia dia tak boleh gigit kita sume!