Jumaat, 30 Mac 2012

Cinta Kek Cawan Scha & Awal

Memilih Putrajaya sebagai lokasi pernikahan dan persandingan, pasangan ini bertuah kerana mendapat perhatian ramai merebut peluang ingin menaja perkahwinan mereka kelak.

Kata orang tuah ayam nampak di kaki, tuah badan siapa yang tahu. Begitu juga pasangan ini berasakan tanggal 4 Mei (nikah) dan 6 Mei (bersanding) disatukan suami isteri adalah paling sesuai.


Paling menarik, Awal mahupun Scha yang masih punya kontrak sebagai Wajah Eksklusif Astro turut mendapat keistimewaan seperti Yusry dan Lisa apabila stesen satelit itu bersedia menerbitkan program khas buat pernikahan.

Acara pernikahan yang akan diadakan di Hotel Pullman disiarkan secara langsung menerusi Astro Awani manakala empat episod bersama Astro Ria pula merakam perjalanan pra perkahwinan dan satu episod untuk persandingan.



Menyingkap perkenalan dua pengacara popular ini, mereka mula dipertemukan menerusi program realiti tarian, Sehati Berdansa 3. Awal mengakui dia amat menyukai Scha sejak mereka menyulam cinta selama dua tahun enam bulan.

Dalam mengenali hati satu sama lain, Awal sejak awal sudah menyunting Scha apabila menghantar rombongan merisik pada 30 Mei tahun lalu. Awal menyatakan dia bukan mahu berahsia acara itu daripada pengetahuan media mahupun peminat tetapi ketika itu keadaan ibunya tidak sihat dan acara tetap diteruskan memandangkan persiapan sudah dibuat.

Pada sidang media pengumuman tarikh perkahwinan diadakan di Ampang, Selangor, baru-baru ini, pasangan ini turut menayangkan kembali foto adat merisik mereka kepada pihak media.

Ketika melihat semula babak dia melamar Scha ketika kekasihnya itu mengacarakan program Propaganza, Awal turut menitiskan air mata sekali lagi.

"Memang saya berpakat dengan Astro untuk melamarnya pada hari itu. Saya menangis bukan kerana sedih tetapi melihat reaksi Scha yang turut menitiskan air mata.

"Saya tahu dia memang sukar menangis dan paling 'macho' tetapi apabila dia menangis, saya juga jadi tersentuh. Soal pemilihan konsep majlis kahwin kami nanti, kami mahukan ia menggambarkan suci dan ringkas serta mungkin juga tetamu boleh datang dengan Baju Kebangsaan," katanya sambil mengakui menyenangi keluarga Scha.

Di sebalik kata cinta dilafazkan, mungkin tidak ramai peminat tahu Awal sering menghantar kek cawan kepada kekasihnya itu. Awal menjelaskan dia sebenarnya menghantar buah tangan itu bukan saja untuk bakal isterinya tetapi mahu menambat hati ibu mentua.

Berdebar menantikan hari bahagia disatukan, Awal juga khuatir dengan tanggapan orang lain terhadap perkahwinan mereka. Katanya, mereka sekadar berhasrat untuk bernikah secara sederhana tetapi meriah.

Walaupun hubungan cinta antara mereka dianggap singkat, Awal menyatakan kenangan bersama dilalui mereka banyak mengajar dirinya mengenali Scha dengan lebih dekat.

Malah Scha pula menyatakan dia mengenali Awal seadanya dan lebih melihat apa yang akan ditempuh pada masa hadapan sebagai proses mengenali bakal suaminya itu lebih mendalam.

Dalam sibuk dengan komitmen kerja, pasangan ini sempat mencuri masa membuat persiapan perkahwinan mereka sejak dua bulan lalu dan Scha pula menyatakan 70 peratus persiapan selesai. Malah, pasangan ini sudah menghadiri kursus kahwin pada penghujung Januari lalu.

"Ketika kursus, saya demam denggi. Habis kursus, saya terus masuk hospital selama seminggu. Saya fikir lepas berkahwin nanti, saya dengan Awal masih kena bekerja.

"Mungkin kami sekadar berbulan madu dalam negara dan cuti seketika. Pada saya, apa yang merisaukan pada majlis kami nanti ialah soal makanan. Awal sendiri cakap kalau boleh biarlah sempurna dan sedap," katanya.

Selepas lokasi pernikahan di Hotel Pullman, pasangan ini akan meraikan tetamu pada majlis persandingan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Mereka menjangkakan 1,500 tetamu hadir terdiri anggota keluarga, pihak media dan rakan artis.
Video & Gambar Sweet Scha & Awal Di Majlis Pengumuman Nikah

Awal Lamar Scha Dalam Propaganza-25 Mac 2012-Romantiknya

2 ulasan:

norliza berkata...

comeynya scha alyahya....

::CIK LYNN:: berkata...

moga kekal hingga akhir hyat...=)