Ahad, 11 Mac 2012

Zarina Ann Julie Nikah Elak Kontroversi Walaupun Tidak Cinta

DALAM kehangatan orang memperkatakan aksi panasnya yang disiarkan majalah FHM Indonesia dan perang twitter bersama penyanyi berasal Singapura, Aliff Aziz, pelakon yang sering diulit kontroversi, Zarina Ann Julie atau Zarina, 25, memberi perkhabaran baru yang pastinya cukup mengejutkan.
Zarina Ann Julie nikah dalam masa terdekat.

“Saya mahu bernikah dan ia akan berlangsung dalam waktu terdekat ini,” katanya yang mahu berkongsi cerita bersama pembaca Selebriti Metro.

Bagaikan tidak percaya akan apa yang diperkatakan kerana sebelum ini tidak pernah pula timbul cerita gadis berasal dari Nilai, Negeri Sembilan ini sedang asyik menyulam cinta.

Zarina menjelaskan, sekarang ini dia mahu memberikan tumpuan kepada urusan pernikahan yang sedang rancak dilakukan. Apatah lagi kebelakangan ini, perkara itu tidak dapat dilaksanakan kerana sibuk menjalani penggambaran filem terbaru arahan Mamat Khalid di Ipoh dan Ular terbitan KRU Studios.

“Saya mahu cepat bernikah kerana itulah jalan terbaik. Tambahan pula saya harap dengan keputusan dibuat ini, saya tidak lagi dikaitkan de­ngan kontroversi yang boleh mengaibkan.
 
Bercerita mengenai siapakah jejaka yang berjaya bertakhta di hatinya itu, Zarina bagaimanapun enggan mendedahkan kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

“Cukuplah sekiranya saya katakan dia kenalan lama. Perkenalan kami bermula sebagai rakan perniagaan. Jujur saya katakan, antara kami tidak ada perasaan cinta, tetapi saya percaya ia akan datang selepas kami bernikah.

Dulu saya silap, kerana mendedahkan tunang kepada umum. Niat saya baik dan tidak mahu hipokrit, tetap apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ada orang dengki menyebarkan pelbagai cerita.

“Bukan itu saja, sehinggakan ada yang sanggup menghantar gambar saya sebelum ini kepada keluarga bakal mentua sehingga menyebabkan hubungan dijalin terputus. Kali ini saya mahu lebih berhati-hati. Saya tidak mahu mendedahkan identiti bakal suami sehinggalah kami selamat bernikah,” katanya.

Malah dia sendiri yakin dengan keputusan dibuat walaupun kelak akan timbul pelbagai cerita kurang enak contohnya, konon bakal suaminya itu mungkin suami orang menyebabkan dia merahsiakan identitinya.

“Walaupun benar dia suami orang, sekurang-kurangnya kami membuat keputusan yang betul. Lebih baik saya menjadi isteri kedua, ketiga mahupun keempat, asalkan apa yang kami lakukan kelak halal di sisi agama.

“Segalanya bermula apabila dia memberi cadangan mengapa tidak berkahwin kerana sangat baik dan akrab sebagai kawan. Saya sendiri mencari pasangan hidup yang bukan saja boleh menjadi suami dan bapa kepada anak-anak, tetapi rakan yang boleh dibawa berbincang membabit­kan apa saja perkara.

“Sekurang-kurangnya dengan dia, saya tahu dia ikhlas dan jujur. Saya percaya selepas bernikah nanti, cinta akan datang dan ia mungkin lebih membahagiakan,” katanya.

Zarina turut menjelaskan, apa yang penting baginya adalah menyelesaikan majlis pernikahan yang tarikhnya juga dirahsiakan. Ia diadakan di rumah keluarganya dan hanya dihadiri keluarga rapat kedua-dua belah pihak.

Jelas Zarina lagi, antara sebab mengapa dia mahu bernikah awal kerana tidak mahu lagi cerita kontroversi dikaitkan dengan dirinya. Katanya, jika ada pihak mahu mengaitkannya dengan mana-mana lelaki pasti mereka berasa malu dan menghormati akan statusnya sebagai isteri orang.

“Kalau selepas berkahwin perkara itu berlaku juga, saya sudah tidak tahu apa lagi yang mahu dilakukan. Mungkin saya akan mengambil tindakan meninggalkan dunia seni dan menumpukan perhatian kepada suami dan rumah tangga,” katanya.

Walaupun sudah berumah­tangga kelak, jelas Zarina bakal suaminya memberikan keizinan untuk dia terus aktif dalam bidang seni dan peragaan.

“Saya juga akan tetap meneruskan kerjaya sebagai model. Selepas wajah saya tersiar dalam majalah FHM Indonesia, saya menerima banyak tawaran lagi selepas itu. Sekarang ini pun saya sibuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta bagi memenuhi undangan sesi fotografi,” katanya.

1 ulasan:

Unknown berkata...

perkahwinan jalan yang terbaik bagi mengelakkan fitnah... bagi menghalalkan yang 'tidak boleh'... juga untuk lebih terbimbing dan dipimpin... semoga dikurniai pasangan yang dapat membimbing ke jalan yang diredhai... aminnn...

zarina ann jolie... sayang... masih muda... masih baru... potensinya ada, tapi, kalau digilap potensi tu dengan 'baik'... potensi itu akan labih cemerlang lagi....

#########

http://thetimelines2u.blogspot.com/2012/03/entry-ringkas-tegur.html

follower datang singgah MENEGUR kamu... sudi-sudilah ke tempat kita ya... berbesarlah hati kita dengan kunjungan orang di sana...