Isnin, 9 April 2012

Komen Aaron Aziz Menang Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2011

Aaron Aziz bersama Trofi kemenangan ABPBH Edisi  ke 25
TEPUKAN gemuruh dan jeritan penonton yang memenuhi segenap ruang Arena of Stars, Genting Highlands, saat namanya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 bagaikan restu daripada peminat yang berusaha meletakkan namanya mengungguli trofi dambaan ramai itu. Menewaskan saingan terdekatnya, Shaheizy Sam yang menggenggam gelaran itu tahun lalu, Aaron Aziz, 36, mencairkan hati peminatnya menerusi filem Ombak Rindu seterusnya dipilih sebagai Bintang Paling Popular dengan undian sebanyak 87,669.

Terdahulu, jejaka itu turut dinobatkan sebagai pemenang untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular.

Kemenangan Aaron itu bagaikan sudah dijangka kerana fenomena yang dicetuskan olehnya sebelum ini termasuk sambutan yang diterima sewaktu menghadiri siri jelajah promosi ABPBH2011 yang sungguh luar biasa.

Ternyata, itulah kuasa aktor dari Kota Singa yang diakui mempunyai aura dan pakej tersendiri. Paling menarik, Aaron mengulangi kembali kejayaan Datuk M Nasir yang pernah memenangi kategori itu suatu waktu dulu.

Aaron Aziz dengan hadiah di ABPBH 2011
 Namun, dalam kegembiraan, Aaron mengakui takut dengan gelaran itu.

"Saya membayangkan seperti memakai pakaian warna emas di kawasan khalayak ramai seperti pasar, terlalu menonjol kerana dari jauh orang sudah perasan. Itulah perasaannya apabila memenangi anugerah ini. Semua mata memandang apa yang kita buat. Kalau kita buat silap, orang akan cepat nampak," ujarnya bermetafora.

Sebelum ini setiap kali disebut-sebut sebagai pemenang kategori itu, Aaron tetap merendah diri dan menganggap peluang untuk artis lain mengungguli kategori terbabit tetap ada. Namun penangan Ombak Rindu membuktikan segala-galanya.

"Saya akui Ombak Rindu memang menyentuh hati ramai, termasuk peminat dan juga orang industri. Tapi saya percaya, apabila kita buat sesuatu kerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan, ganjaran akan datang dengan sendirinya," kata Aaron lagi.

Ditanya apakah maknanya anugerah ini kepada kerjaya seninya, Aaron menyifatkan trofi itu sebagai peringatan untuknya supaya bekerja lebih keras.

"Saya masih ingat kata-kata aktor Rosyam Nor yang menyifatkan anugerah yang dimenangi bererti ada tanggungjawab yang menanti. Trofi ini akan mengingatkan saya supaya bekerja lebih keras dan tidak lekas berpuas hati dengan kejayaan yang digenggam," katanya yang masih lagi terkejut dengan kemenangannya itu.

Sebagai pemenang, Aaron pulang dengan penuh bergaya apabila hadiah yang ditawarkan berupa hadiah Nissan Teana 250 XV V6 bernilai RM175,000 dan kalung mewah Rafflesia Mandalay bernilai RM250,000.
Aaron Aziz bersama Nissan Teana 250XV V6



4 ulasan:

adianiez AIDA berkata...

1 filem jer nak jadi paling popular ekk? dpt kta & intan berlian... frust ler pelakon m'sia yg lain mlm tadi hi hi...

amanda_jb berkata...

rezeki aaron, bukan tahun nie je nama aaron top 5 dh bertahun cuma rezeki dia tuk tahun nie, dan pembetulan, dia dh berlakon byk filem cuma filem ombak rindu betul2 memberikan rezeki pd dia. dgn kemenangan dia, harap pelakon msia dpt motivation tuk meningkat taraf lakonan mereka, tidak memperlekehan bakat lakonan artis msia, tapi semoga mereka berusaha lebih baik.

Jendela Hati berkata...

tumpang suka tgk aaron menang malam td... rezeki...

penulis berkata...

dunia je semua ni..
troffi kecik pon nak gaduh..
troffi kat akhirat nanti lg besar...

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/