Jumaat, 6 April 2012

SleeQ Artis Naungan Syarikat Aaron Aziz Production

NAMA SleeQ bukanlah asing di Malaysia. Duo kelahiran Singapura ini pernah diperkatakan seketika dalam industri apabila berpeluang kolaborasi dengan penyanyi tersohor, Ramlah Ram menerusi lagu Sesaat Kau Datang namun selepas itu nama mereka tenggelam timbul.

Ada sebab yang menjurus kepada situasi berkenaan, selain kurang mengenali komposer, penerbit muzik dan orang-orang penting dalam industri, kedua-dua anggotanya, Alif Abdullah (Alyph), 23, dan Ahmad Syarifullah (Syarif), 23, sebenarnya terikat dengan program khidmat negara di sana.

Sudah menempa nama di negara sendiri, dua bersaudara ini tidak gentar untuk mengembangkan lagi sayap muzik yang diperjuangkan iaitu R&B dan Hip Hop. Apatah lagi selepas dilamar menjadi artis naungan syarikat Aaron Aziz Production. Berbekalkan platform itu, SleeQ kini dalam rangka untuk membolosi pasaran di sini pula.
SleeQ bakal lancarkan album ketiga 



Lantas, sebaik menandatangani perjanjian bersama syarikat milik pelakon terhangat, Aaron Aziz itu, tahun 2012 bakal menyaksikan kebangkitan mereka dalam industri sini malah akan berpindah ke Kuala Lumpur demi merealisasikan matlamat itu.

“SleeQ sebenarnya sudah lama ditubuhkan, dan menerusi single Cun Saja daripada album SleeQ’s Classiq pada 2009, kami mula dikenali peminat di sini namun ‘pukulan’ album berkenaan nampaknya agak hambar apabila kurang promosi.

Kami akui, memang terhad sungguh masa untuk kami ke Malaysia pada ketika itu sekali gus gagal untuk buat promosi secara ‘all out’.

“Untuk permulaan ini, kami masih lagi berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk proses rakaman album ketiga yang bakal dilancarkan sekitar September nanti. Syarif menjelaskan banyak kelainan disuntik dalam lagu-lagu mereka dan pertukaran terbesar tentu sekali pada konsepnya.

“Kalau peminat perasaan, dalam album pertama dan kedua, kami banyak mengetengahkan lagu berkisar cinta remaja, maklumlah masih dalam proses meningkat remaja.

“Namun untuk album ketiga yang menggunakan nama SleeQ sebagai judul, arah tuju lirik serta lagu lebih bersifat matang dan melodinya lebih kuat. Tambahan pula, untuk album ini, kami tidak lagi menghasilkan lagu-lagu sendiri tetapi mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan beberapa komposer seperti Dali Ahli Fikir serta produksi rakaman di sini.

“Menjalani proses rakaman sepenuhnya di sini, kami sangat bertuah kerana dapat menjalin kerjasama dengan tenaga-tenaga muzik dari sini di samping dapat meneroka sendiri cara kerja, kesungguhan serta kreativiti mereka.

“Album ini akan memuatkan enam lagu di mana empat daripadanya hasil kolaborasi dengan artis terkenal seperti Najwa Latif, Zizan Raja Lawak, Kaka dan sebuah lagu lagi duet bersama ‘bos’ kami, Aaron Aziz iaitu menerusi lagu Salam Semua,” ujarnya.

Apapun, fokus utama yang bermain di minda Alyph dan Syarif kini pastinya untuk mengangkat muzik mereka ke tahap lebih jauh. Soal populariti jatuh ke nombor dua kerana bagi mereka, biarkan lagu dikenali terlebih dahulu, barulah cari penyanyinya.
Gambar Pertunangan Sharif SleeQ & Malaque Mahdaly

Video & Lirik Lagu Untuk Dia - SleeQ feat Najwa Latif


Tiada ulasan:

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/