Khamis, 5 April 2012

Versus Program Realiti Baharu TV9

Sebagai sebuah saluran yang menyasarkan audiens muda, TV9 sekali lagi bakal menggegarkan industri muzik tempatan dengan penampilan lima buah kumpulan generasi baharu yang terkenal untuk bersaing sesama sendiri di dalam sebuah program yang dinamakan sebagai Versus.
Lima kumpulan terkenal perlu berentap sesama sendiri tanpa sebarang penyingkiran selama lapan minggu berturut-turut.

Versus akan menyediakan platform bagi lima buah kumpulan yang terdiri daripada 6ixthSense, Black Parallax, Go Gerilla!, Hujan dan Sofazr untuk meluahkan kreativiti dan melangkau kebiasaan menerusi gubahan lagu yang diberikan selama lapan minggu berturut-turut.

“Versus merupakan sebuah projek terbesar kami pada tahun ini. Keunikan konsep program realiti ini memperkuatkan lagi kepercayaan kami terhadap Versus. Kekuatan Versus terletak kepada kemampuan dan kebolehan setiap kumpulan untuk menonjolkan kreativiti mereka.

“Semestinya ramai yang teruja untuk mendengar lagu-lagu yang pernah popular suatu ketika dahulu diberi nafas baharu. TV9 juga rasa teruja kerana program ini juga merupakan satu lagi kolaborasi terbesar kami bersama Hot FM,” tutur Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin ketika majlis pelancaran program tersebut di White Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Melalui program ini juga, dua buah kumpulan yang direka khas untuk sama memberi saingan dalam program ini iaitu Black Parallax dan Go Gerilla!.

Black Parallax merupakan gandingan Meet Uncle Hussain dan penyanyi, Black manakala Go Gerilla! pula turut dianggotai Aizat Amdan dan Amir Jahari.

Menariknya, tiada sebarang penyingkiran akan dilakukan hingga ke akhir program dan pemenang akan dipilih berdasarkan markah tertinggi yang dikumpul sepanjang musim.

 Ini kerana kami mahu memberi mereka platform untuk benar-benar mengeluarkan kreativiti mereka.

“Setiap minggu, mereka akan diberikan tema yang berlainan dan mereka perlu gubah lagu tersebut mengikut kreativiti masing-masing.

“Kemudian pada minggu yang sama, dua kumpulan yang mempunyai markah tertinggi akan bersaing sesama sendiri untuk memenangi hadiah mingguan dan juara pula akan menerima hadiah utama bernilai RM200,000,” jelas penerbit eksekutif Versus, Alet Arzuan Anuar.

Sistem pemarkahan Versus adalah melalui dua landasan iaitu melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga pemarkahan oleh dua orang juri profesional iaitu Jennifer Thompson selaku ketua juri dan Loque pula sebagai juri tetap.

Sementara pada setiap minggu Versus akan menjemput seorang juri yang berpengalaman dalam bidang muzik untuk sama-sama menilai persembahan kelima-lima band tersebut.

Sementara itu, Hunny Madu dan Aidid Marcello diberi tanggungjawab sebagai hos bersama Versus.

Ingin lihat lima kumpulan kegemaran anda tampil dengan kelainan? Jangan lupa saksikan program realiti baharu TV9 yang bakal bersiaran mulai 13 April ini secara langsung di TV9 (saluran 119 Astro) dan Hot FM pada pukul 9.30 malam.



1 ulasan:

maszull berkata...

assalamualaikum CT...mcm best je rancangan ni...:)