Rabu, 20 Jun 2012

Aeril Zafrel Berubah Tidak Mahu Leka Dan Hanyut

Hero filem ‘Hanya Aku Cinta Kau Seorang’ (HACKS), Aeril Zafrel pada Isnin lalu mengumumkan dia kini tidak mahu lagi berlakon tanpa mengenakan baju. Bukan kerana dihentam peminat atau dimarahi teman wanita tetapi kerana sebab yang lebih kukuh.

“Selepas filem HACKS, saya tidak mahu lagi melakonkan adegan-adegan yang memerlukan saya membuka baju. HACKS adalah yang terakhir. Saya harap pengarah dan pihak penerbit boleh faham dengan pendirian saya ini. Jika ada yang tidak senang, saya tidak akan terima tawaran berlakon daripada mereka. Saya nekad tidak mahu melakukannya lagi,” ujar Aeril mengulas tentang penampilannya yang sering kali tidak berbaju di dalam filem HACKS.
Aeril Zafrel sudah berubah 
Jelas Aeril lagi, keputusan itu dibuat bukan kerana desakan sesiapa, tetapi atas kesedaran diri sendiri. Namun, jejaka ini menyatakan dia tidak kisah jika perlu memegang tangan pelakon wanita yang digandingkan bersamanya. Pelik juga pendirian Aeril ini bukan? Untuk pengetahuan semua, pendirian Aeril itu tercetus setelah dia mula mendalami ilmu agama sejak beberapa bulan yang lalu.

‘’Filem ‘ 7 Petala Cinta’ memberi impak yang cukup besar kepada saya. Ia membuatkan saya nekad untuk berubah dan memperbaiki diri. Sekarang sudah masuk tiga bulan saya mempelajari ilmu agama atau mengenal diri sendiri. Dalam tempoh itu juga, saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran kerana mahu berehat seketika.

Dalam masa yang sama, saya ambil kesempatan melawat beberapa buah masjid mahupun pusat-pusat pembelajaran agama di beberapa buah negara untuk mendapatkan ilmu. Mungkin ramai yang terkejut atau hairan dengan perubahan saya ini, tetapi saya benar-benar mahu berubah. Saya tidak mahu terus leka dan hanyut. Malah, saya juga tidak kisah kalau perubahan ini membuatkan saya kurang menerima tawaran berlakon. Saya percaya dalam usaha melakukan kebaikan, pasti pengorbanan perlu dilakukan, ” ujar Aeril berkeyakinan.

Mengulas lanjut tentang pengecualian memegang tangan pelakon wanita , Aeril memberitahu dia mengambil pendekatan itu kerana tidak mahu membuat perubahan secara drastik. Jelasnya biarlah perubahannya berlaku secara perlahan-lahan. Selain itu, dia juga menganggap perbuatan itu sebagai tuntutan kerja.

Buat peminat Aeril Zafrel, jangan lupa saksikan filem HACKS di pawagam bermula 21 Jun ini.


1 ulasan:

Aku pengembara berkata...

Minat ngn Aeril.. dia mmg ada bakat.. dan mutu lakonan pun bagi saya 1 mutu lakonan yg berkualiti.. kalau d beri ruang dan peluang, x hairan la 1 hari nanti Aeril menjadi pelakon yg disegani di Malaysia...