Khamis, 7 Jun 2012

Pelajar Lemas Mangsa Fenomena Air Pasang Di Teluk Bahang

Seorang remaja lelaki mati lemas selepas ditarik ombak kuat semasa berehat di tepi Pantai Kerachut Teluk Bahang dekat sini hari ini.

Semasa kejadian 2 petang itu, mangsa Muaz Munawir, 16, dikatakan berehat bersama beberapa rakannya selepas mengikuti aktiviti merentas hutan anjuran Kelab Ikmar Teens yang bermula semalam.
Gambar-Fenomena Air Pasang dan ombak kuat di George Town

Pengarah program, Mohd Hafiz Abdul Hamid, berkata pada ketika itu keadaan laut agak bergelora dan ombak tinggi tiba-tiba datang dan menarik mangsa hingga ke tengah laut.

"Muaz terus hilang dari pandangan kami, selepas setengah jam baru kami jumpa mayatnya terapung tidak jauh dari kawasan pantai," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Hafiz berkata, program kem bina diri membabitkan 105 remaja dari seluruh negara itu dijadual berakhir esok.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke kampung halamannya di Muar, Johor.

Terdahulu, ombak kuat sehingga 3.5 meter dilaporkan melanda sekitar pantai Pulau Pinang berikutan perubahan angin monsun timur laut kepada angin barat daya.
Gambar Fenomena Air Pasang Dan Ombak Kuat Melanda P.Pinang Dan K.Kedah


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pembetulan :

Nama mangsa sebenarnya Muaz Narawi dan kelab tersebut disebut Kelab Ikram Teens.