Rabu, 13 Jun 2012

Pemilik Petknode Online Pet Store Mengaku Bersalah Abaikan 30 Kucing

Dua pemilik pusat jagaan haiwan yang diserbu kerana didakwa mengabaikan kucing peliharaan diamanahkan pemiliknya untuk dijaga ketika cuti Aidilfitri tahun lalu mengaku bersalah bagi 30 pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Pemilik Petknode Online Pet Store, Shahrul Azuwan Adanan dan Yushairi Khairuddin, masing-masing berusia 30 tahun, menukar pengakuan kepada bersalah selepas 30 pertuduhan dihadapi mereka dibacakan semula di hadapan Majistret K B Elena Hong Tze Lan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengabaikan tanggungjawab dan penjagaan kebajikan 30 kucing dengan tidak memberi makan dan minum serta tidak membersihkan tempat penyimpanan tanpa sebab munasabah sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan haiwan berkenaan.


Mereka didakwa mengabaikan kucing yang dihantar pelanggan untuk jagaan sementara di kedai terbabit beralamat di No F001B, Level 1, Seasons Square Plaza, Jalan PJU 10/3 di Damansara Damai di sini, antara 3 September dan 4 September 2011.

Mereka yang kini tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam mereka, Syariful Nizam Shahruddin ketika mengemukakan rayuan berkata, perbuatan dilakukan Shahrul Azuwan dan Yushairi cuma satu bentuk pengabaian dan bukannya kezaliman atau penderaan.

“Tiada penderaan fizikal terhadap semua kucing di bawah jagaan mereka, sebaliknya pengabaian berlaku hanya kerana kekurangan kakitangan ketika cuti hari raya tahun lalu.

“Mahkamah juga perlu mengambil kira soal tanggungjawab moral yang dilakukan mereka kerana ketika kedai lain tidak boleh menerima kucing untuk dijaga, mereka tidak sampai hati menolak permintaan pelanggan,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jamadi Badri yang membantah berkata, jika soal kebajikan diutamakan, mereka tidak akan menerima lebih 100 kucing pada satu masa.

“Ternyata mereka mementingkan keuntungan, bukannya kebajikan,” katanya yang sebelum itu mengesahkan perniagaan dijalankan kedua-dua lelaki itu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut Jamadi, kejadian itu menjejaskan imej negara apabila insiden berkenaan menjadi bualan dalam laman sosial yang tersebar ke seluruh dunia.

Majistret menetapkan 28 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap Shahrul Azuwan dan Yushairi.

Sementara itu, selepas tamat prosiding, suasana di luar mahkamah kecoh apabila keluarga kedua-dua lelaki itu cuba menghalang jurugambar daripada merakam gambar mereka serta diselang-seli jeritan hampir 20 pemilik kucing yang berkumpul di luar mahkamah menyebabkan berlaku perbalahan mulut antara kedua-dua pihak.

Suri rumah, Juriahwati Abdul Wahid, 39, ketika ditemui wartawan memberitahu, dia membayar RM100 untuk jagaan sementara lima haiwan kesayangannya itu selama tiga hari di pusat jagaan berkenaan.

“Saya sangat kecewa apabila kucing saya dan pemilik lain kelihatan tidak terurus, bulu bertukar warna, makanan pula tidak diberikan kepada mereka,” katanya dalam nada beremosi.

1 ulasan:

LydSunshine berkata...

Kesian kat kucing. Kalau tanak jaga ngape kata sanggup nak jaga. Nak duit je tau.