Rabu, 18 Julai 2012

Popmycase-Sarung Telefon Rekaan Peribadi

Kini, para pengguna boleh mereka sendiri sarung telefon bimbit mereka dengan memuat turun gambar kegemaran melalui laman web rasmi http://www.popmycase.com. Aplikasi di dalam laman web tersebut membolehkan pelanggan menukar saiz imej, mengubah kedudukan, menambah warna dan meletakkan ayat-ayat tertentu untuk rekaan sarung telefon mereka.

Pengurus Besar Kumpulan PopMyCase, Ediyuzri Esa berkata, melalui teknologi tersebut, pihaknya menawarkan pilihan sarung rekaan sendiri untuk pengguna iPhone, iPad, Blackberry dan Samsung.


“Buat masa ini, telefon bimbit dan tablet yang boleh diubah suai rekaan sarungnya terdiri daripada semua model iPhone seperti iPhone 4S, iPhone 4, iPhone 3GS, iPhone dan iPad 2 manakala bagi model Blackberry pula ialah Blackberry Bold 9780, Blackberry Bold 9700, Blackberry Curve 3900 dan Blackberry Curve 8520.

“Sarung untuk Samsung S2, S3 dan Samsung Note turut ditawarkan tetapi, ia untuk pratempahan sahaja,” ujar Ediyuzri.

Dilancarkan pada 1 Mei lalu, secara keseluruhan, terdapat tiga jenis rekaan sarung telefon yang terdapat dalam PopMyCase. Pertama, muat turun gambar digital sendiri dari komputer, Facebook atau Instagram ke dalam laman web. Kedua, memilih imej dan hasil seni artis-artis yang terlibat atau pengguna boleh terus mendapatkan koleksi prarekaan tanpa perlu mengubahsuai rekaan sarung telefon itu.

Tambah Ediyuzri, kolaborasi dengan artis grafik dan selebriti melibatkan Amy Search, Bunkface, Nini Marini, Orkibal, Spoonman, Shieko, Art Tech, Super Sunday dan Kukubesi.

Menyentuh tentang kualiti cetakan rekaan pada sarung telefon tersebut, Pengarah Besar Kumpulan Digital PopMyCase, Riz Ainuddin memberitahu, produk yang dikeluarkan dijamin tidak menghampakan pembelinya.

“Penghasilan sarung telefon PopMyCase menggunakan teknologi percetakan tiga dimensi (3D) resolusi tinggi dengan kaedah terkini pemindahan haba yang dipanggil ink-embedded process.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan rekaan yang dicetak pada sarung telefon akan kelihatan 99.99 peratus sama dengan salinan asal yang dihantar kepada PopMyCase.

Apa yang pasti, setiap rekaan akan dicetak pada sarung telefon berkualiti tinggi yang dikenali sebagai Lexan. Ia bersifat ringan, tahan lama dan fleksibel.

Sarung telefon yang dikeluarkan oleh PopMyCase bukan menggunakan plastik biasa, sebaliknya daripada bahan resin polikarbonat yang pernah digunakan oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan yang terbaharu pada pembuatan jentera Formula Satu.

Sementara itu, Zulaili Zulkifli,30, yang menggunakan telefon pintar iPhone memberitahu, inisiatif yang dilakukan PopMyCase dalam menawarkan sarung telefon rekaan sendiri mampu menarik perhatian pengguna.

Paling penting, harganya amat berpatutan dan berbaloi dengan produk yang diterima.



Tiada ulasan: