Sabtu, 15 Disember 2012

Sinopsis Drama Hanya Padamu Slot Zehra TV3

CINTA hadir tanpa diduga, itulah ungkapan yang boleh diberikan terhadap jalan penceritaan drama Hanya Padamu yang bakal menemui penonton menyusuli drama Runtun Qalbu di slot Zehra bermula 28 Disember ini.
Pelakon utama drama Hanya Padamu slot Zehra TV3

Sinopsis Drama Hanya Padamu 
Drama yang mengisahkan perjalanan seorang gadis bernama Adawiyah yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai liku, bakal menambat hati penonton dengan pelbagai babak menarik yang diselitkan menerusi drama tersebut.

Mengangkat naskhah Maizurah Idris sebagai penulis skrip, drama arahan Faizal Ishak ini bakal menjadi fenomena terbaru buat penonton di rumah.

Berkonsepkan Islamik, drama 13 episod ini bukan sahaja menghiburkan, malah jalan ceritanya penuh mesej-mesej yang berguna buat tatapan penonton.

Pelakon utamanya, Beto Kusyairi, Zahiril Adzim, dan Nazeera Sardi.

Menurut Beto, memegang watak sebagai Arman, yang sentiasa bermain dengan emosi sendiri bukanlah mudah, malah penghayatan mendalam amat diperlukan bagi menjayakan watak tersebut.

"Arman merupakan seorang lelaki yang memiliki konflik dalaman kerana cabaran hidupnya begitu hebat sehingga dia marah dengan ketentuan dan takdir.

"Semuanya berubah setelah Arman mengenali seorang gadis bernama Adawiyah.

"Secara keseluruhannya, watak Arman memiliki cabarannya tersendiri. Mujur pengalaman memainkan watak seumpama ini telah banyak saya lakukan dan ia sedikit sebanyak membantu saya untuk mendalami watak tersebut," katanya.

Memegang watak sebagai Bukhari yang merupakan abang saudara kepada Adawiyah bukanlah cabaran hebat buat pelakon, Zahiril Adzim.

Menurutnya, Bukhari adalah seorang lelaki yang tersepit di antara ibu yang sering membuli dan mendera Adawiyah dan dalam masa yang sama, dia cuba membela nasib adik saudaranya itu.

"Walaupun dia tidak bersetuju dengan tindakan ibunya, dia bagaimanapun tetap menghormati ibunya dan mahu menjadi seorang anak yang baik.

"Namun dalam diam, dia sebenarnya menyimpan perasaan terhadap Adawiyah dan dari situlah segala konflik bermula," katanya.

Walaupun watak ini boleh dikatakan agak ringan, namun Zahiril mengatakan ia masih miliki cabaran yang tersendiri.

"Sepanjang menjalani penggambaran drama ini, saya tidak mengalami sebarang masalah. Mungkin ia disebabkan watak yang saya bawa ini tidak terlalu berat.

Jika sebelum ini dia hanya diberi tawaran untuk melakonkan watak pembantu, kini pelakon baru, Nazeera Sardi akui gembira diberi kepercayaan memegang watak lebih besar.

Katanya, Hanya Padamu adalah drama ketiganya sepanjang menceburi bidang lakonan sejak setahun lalu.

"Saya gembira diberi kepercayaan pengarah untuk memegang watak Adawiyah dalam drama ini. Walaupun masih baru, saya akan berusaha lebih keras memastikan lakonan saya kali ini tidak menghampakan.

"Terlalu banyak perkara saya perlu perbaiki dan saya bertuah kerana semua krew memberi tunjuk ajar kepada saya dan saya akui sangat selesa bekerja dengan mereka.

Jangan lupa saksikan Drama Hanya Padamu slot Zehra bermula 28 Disember ini.

1 ulasan:

Kak Mahh berkata...

Baca sinopsis dulu baru tengok cerita.