Rabu, 30 Januari 2019

6 Tips- Hasilkan Handmade Bag Nampak Cantik

Walaupun saya sudah lama menjahit beg tapi saya tak pernah berhenti mencari ilmu. Sekarang boleh dikatakan agak mudah mencari terutama didalam majalah ataupun google sahaja.Namun begitu tidak semua ilmu yang kita dapat dari situ mudah dibuat atau menjadi hasilnya. Ada masa kita perlu mencuba sesuatu cara mengikut material dan skill yang kita ada untuk dapatkan hasil yang dikehendaki.


Untuk mereka yang baru dalam bidang jahitan kreatif ini terutama menjahit beg saya cuba memberi  beberapa teknik yang saya gunakan dalam membuat beg.Ada yang benar-benar asas dan sedikit rumit tetapi semuanya sangat penting untuk proses untuk mendapatkan hasil yang lebih baik yang boleh anda banggakan hasilnya nanti.
Penyediaan kain:

Ada yang bertanya perlukah kain dibasuh dahulu. Dari pengalaman sendiri, saya tidak pernah basuh kain yang untuk dibuat beg. Kebanyakkan kain yang tebal seperti linen apabila dibasuh akan berkedut dan sukar untuk dilicinkan semula.Pastikan dulu material dan keadaan kain itu sebelum mengambil keputusan untuk dibasuh.
Sama adan dibasuh atau tidak, ia adalah penting untuk sterikakan dulu fabrik anda sebelum memotong.Ini untuk menghilangkan lipatan yang benar-benar degil. Sebaik sahaja anda mempunyai kain yang rata, ia akan menjadi lebih mudah untuk mendapat ukuran yang tepat, juga agak sukar untuk menghilangkan lipatan degil apabila beg itu sudah siap, lebih baik untuk melakukannya terlebih dahulu.
Teknik mudah semasa proses menjahit.

Pastikan setiap proses selepas menyambungan kain atau lipatan di sterika.Ini membantu untuk mendapatkan kemasan yang baik dan licin. Selalunya apabila disterika bentuk beg nampak kemas dan tidak berkedut di tempat jahitan.
Mengemaskan lebihan basi jahitan.

Selain disterika di basi jahitan dengan meratakannya, selalunya saya akan buang lebihan basi dan tinggalkan dalam 1/2-1cm. Kebanyakkan bentuk beg akan ada bahagian yang melengkung dan bersudut. Untuk dapatkan hasil yang cantik dan rata agak susah. Snip atau gunting dibahagian lengkung dan untuk sudut pula snip sehampir yang mungkin dari jahitan terutama dibahagian poket dan flap beg.
Interfacing / Interlining

Interfacing / Interlining juga dikenali sebagai bahan untuk memberi kekuatan beg seperti tegap,tegak dan keras. Terdapat begitu banyak jenis interfacing / interlining sehingga kadang-kadang membuatkan kita keliru yang mana sesuai.Saya mengambil masa untuk mencari jenis yang suai untuk digunakan membuat beg.
Cara pengunaannya bahan itu, potong mngikut saiz kain dan di sterika di belakang kain.Secara asas yang boleh saya katakan jika menggunakan fabrik jenis
Kain cotton +kod kain pengeras 5530+batting 280g (pilihan)
Kain linen+kod kain pengeras 5520+batting 180g(pilihan)
Kain canvas+pengeras paling nipis
Untuk Lining gunakan kod kain pengeras 5520
Tapi kaedah ini bergantung juga dengan jenis beg apa yang kita mahu hasilkan. Sama ada bersaiz besar atau kecil.

Kain Lining /kain bahagian dalam beg.

Saya menggunakan kain lapisan dalam semua beg kerana merasa bahawa ia adalah penting untuk beberapa sebab. Dapat menutup Interfacing dan interlining dan benang jahitan. Lining memberikan lapisan tambahan kestabilan dan kekuatan beg,juga beg anda akan bertahan lebih lama dan kelihatan lebih baik. Poket bahagian dalam boleh dijahit ke dalam lapisan, dan tiada jahitan akan nampak di bahagian kain luar beg.
Dapat menjadikan beg nampak lebih menarik. Sangat bagus untuk mendapatkan sedikit 'wow!' Apabila anda membuka beg dan melihat ke dalamnya dimana dalam beg tetap kemas dan cantik seperti keadaan diluar beg.Kadang-kadang saya menggunakan gabungan fabrik dari koleksi fabrik yang sama supaya nampak sedondon. Untuk beg yang lebih ringkas dan bersaiz kecil saya hanya menggunakan nylon lining sahaja.



Top-stitching.

Top-stitching adalah bentuk jahitan yang dijahit untuk boleh dilihat dibahagian luar. Untuk jahitan beg selalunya hanya menggunakan jahitan lurus sahaja.Topstitching adalah cara terbaik untuk menyelesaikan projek anda dan menjadikannya kelihatan bersih dan profesional.Sama ada menggunakan benang sepadan atau berbeza mampu menjadikan beg itu lebih kuat. Salah satu teknik Top-Stitching ialah semasa membuat tali beg.

Saya harap sedikit info yang saya beri ini boleh digunakan oleh anda. Adalah sangat mengembirakan membuat sesuatu barangan buatan tangan, sama ada untuk diri sendiri atau hadiah kepada keluarga dan rakan-rakan. Dengan sedikit perhatian kepada perinciannya anda akan dapat membuat sesuatu yang istimewa dan dihargai.
Jika anda bercadang untuk menjual barang-barang buatan tangan anda, pastikan semua hasil anda selesai dengan profesional yang mungkin. Walaupun kita tahu buatan tangan ini tidak akan sama hasilnya walaupun menggunakan pola dan material yang sama. Tetapi dengan hanya sedikit perhatian tambahan terhadap material, aksesori dan jahitan pasti hasilnya lebih baik.

 Terdapat banyak persaingan di luar sana, setiap orang mengatakan barangan mereka yang terbaik tetapi, walaupun dengan begitu banyak pilihan hanya pembeli sahaja yang akan menilai hasil anda itu. Pembeli buatan tangan mengharapkan barang yang mereka beli dibuat dengan baik dan sempurna supaya mereka  berbangga dan berpuas hati.Lagipun, mereka membayar harga premium untuk barang buatan tangan itu dan agak wajar mereka mengharapkan kualiti mutu kerja adalah yang terbaik juga.
Jika anda ingin memcuba menghasilkan beg buatan tangan sendiri boleh lah mencuba Pattern PDF ataupun kelas online yang ada di website. Kebanyakan Pattern beg saya boleh dibuat oleh semua tahap jadi walaupun anda tidak pernah membuat beg sebelum ini atau pun anda ingin meningkatkan kemahiran membuat beg, arahan dan gambar yang mudah diikuti akan membantu anda melalui proses itu.
Selamat menjahit.bye...

1 ulasan:

anislina berkata...

cantik kak....sangat sangat kemas....kak bagi tips camna nk bagi kemas tang topstitching kak....