Selasa, 1 November 2011

Afzan Anak Wayang Akhiri Zaman Duda Berkahwin Kali Ke2


SEKALIPUN hanya mengenali antara satu sama lain dalam tempoh singkat, ia sudah cukup membuka ruang di hati pelakon dan bintang Anak Wayang, Afzan A Rahman, 29, untuk mendirikan rumah tangga dengan suri pilihannya, Hasliza Md Sharasan, 25.

Diijabkabulkan Sabtu lalu di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya dalam majlis sederhana yang dihadiri keluarga dan sanak saudara, pasangan merpati dua sejoli ini diraikan di tempat sama kelmarin dalam majlis persandingan cukup meriah.

Memilih busana tradisional Melayu berwarna kuning yang sinonim dengan simbolik ‘raja sehari’, Afzan dan Hasliza ketika ditemui selepas majlis berakhir memaklumkan, lima bulan bercinta, sudah cukup untuk mereka mengenali hati budi masing-masing.

Menurut Afzan, perkenalan dengan Hasliza berlaku pada 1 Mei lalu menerusi seorang rakan. Ujarnya, Hasliza seorang yang cukup memahami dan tahu apa saja yang ada dalam hatinya. Barangkali ada kaitan juga dengan tarikh lahir mereka yang sama iaitu 22 Oktober.


Perkahwinan bersama Hasliza adalah yang kedua bagi Afzan selepas empat tahun menduda. Afzan yang mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Haikal, 8, hasil perkahwinan lalu mengakui tidak pernah terfikir untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi secepat ini sebelum mengenali Hasliza.

“Dia berjaya membuka hati saya. Apa yang mengharukan, Hasliza menerima saya seadanya walaupun tahu status duda itu,” katanya menginginkan lima cahaya mata bersama Hasliza.

Sementara itu Hasliza yang juga seorang eksekutif sebuah bank di ibu kota, mengakui mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun boleh dikatakan agak muda bagi wanita berkerjaya.

Join Us And Share Your Love

“Pada perkenalan pertama saja, Afzan sudah menjelaskan semua berkaitan status dan dirinya kepada saya. Justeru, saya dapati dia seorang yang ikhlas kerana kebanyakan lelaki berstatus duda selalunya cuba merahsiakan masa lalu mereka.

“Bahkan, pada awal hubungan kami terjalin, saya juga dapati banyak persamaan dan keserasian yang wujud. Bagaimanapun, Afzan juga seorang yang pendiam dan sabar. Saya sangat menyenangi dan selesa dengan sikapnya dan atas sebab itu, saya sudi berkahwin.

“Saya juga sudah sedia memikul tanggungjawab seorang isteri dan ibu kepada Muhammad Haikal. Apa yang penting, Muhammad Haikal juga dapat menerima kehadiran saya dalam hidup Afzan. Saya sangat yakin, perkahwinan langkah terbaik buat kami,” katanya.


Hasliza yang juga anak bongsu daripada tiga beradik perempuan berkata, seru perkahwinan untuknya dan suami lebih kuat. Oleh itu, tidak perlulah mereka bertunang dan teruskan saja pada pernikahan. Ujarnya, keluarga pun tiada halangan.

Pasangan ini dinikahkan bapa Hasliza, Md Sharasan Abdullah, 53, dan dengan sekali lafaz, Hasliza sudah bergelar isteri Afzan. Hasliza menerima wang hantaran berjumlah RM12,000 berserta mas kahwin RM300. Pasangan pengantin juga bertukar hantaran lima dulang daripada Afzan manakala dibalas tujuh oleh Hasliza.

Mereka merancang berbulan madu ke Bali, Indonesia, Disember nanti. Mereka akan berangkat ke Bali sejurus selepas persandingan di pihak Afzan di Johor Bahru dilangsungkan.
***Gambar dari Twitter Ifa Raziah

2 ulasan: