Isnin, 19 Disember 2011

Tiga Lokasi Maksiat Yang Popular

Tiga lokasi maksiat yang dikenal pasti menjadi tumpuan adalah kawasan pantai, rumah sewa dan tepi kebun.


Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Air Tawar, Zamri Yahya berkata, ketiga-tiga lokasi terbabit pula adalah dalam lingkungan tiga kilometer dengan pusat pengajian tinggi di daerah ini.

Zamri berkata, kes yang dilaporkan kepada pihaknya membabitkan orang tempatan dan luar daerah Sabak Bernam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis penyerahan vest Nahi Mungkar kepada 60 pemegang kad kuasa pegawai masjid di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sungai Air Tawar, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Penerangan Majlis Tindakan Dun, Wahid Rais.

Zamri berkata, mereka terdiri daripada empat pegawai dari 15 masjid dalam Dun Sungai Air Tawar.

“Kehadiran mereka akan dapat meringankan tugas penguat kuasa agama peringkat daerah memandangkan tenaga unit penguat kuasa sedia ada agak terhad jika hendak dibandingkan dengan daerah Sabak Bernam yang luas.

“Dengan adanya pegawai masjid ini sedikit sebanyak akan dapat berfungsi membantu penguatkuasaan dalam memastikan Dun Sungai Air Tawar terhindar daripada aktiviti mungkar,” katanya.

Katanya, pentauliahan yang diterima menjadi nilai tambah kepada apa yang dimiliki pegawai masjid dalam usaha mereka membantu mencegah kemungkaran.


“Ia adalah pelengkap untuk terus mendorong pegawai masjid berkhidmat dengan lebih dedikasi di kawasan kariah masing-masing seterusnya dapat membersihkan Dun Sungai Air Tawar daripada maksiat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamri turut menasihatkan kepada pelajar institut pengajian tinggi berhampiran untuk menghargai peluang belajar yang diberikan secara bersungguh-sungguh.

“Hargai jasa kerajaan dan ibu bapa dengan menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak sesekali terlibat dengan perkara negatif,” katanya.sumber


Tiada ulasan:

Catat Ulasan