Isnin, 26 Mac 2012

Info & Gambar Terkini Penyanyi Kaka @ Nor Atiqa Noor Azraff (Bawaku Pergi)

Seorang lagi bintang baru sudah tercipta di dunia tanah air kita,dia tidak lain daripada Nor Atiqa Noor Azraff, gadis berusia 23 tahun dari Klang, Selangor yang juga nama mesranya, Kaka. Siapa sebenarnya Kaka?


Gambar terkini Nor Atiqa Noor Azraff @ Kaka

Melihat wajah dan cara dia ketawa, kita akan terus ingatkan seorang selebriti yang sudah lama terkenal. Hakikatnya, antara Kaka dan penyanyi rock legenda Ella, mereka satu keluarga kerana Ella adalah ibu saudara kepada Kaka.

Kaka sebenarnya anak kepada arwah abang Ella, Allahyarham Nor Azraff Aminuddin yang turut mewarisi bakat nyanyian yang hebat.

Bukan tidak berbangga ada pertalian darah dengan seseorang yang sudah lama bergelar ikon dalam industri hiburan, cuma Kaka kalau boleh tidak mahu dikatakan menumpang populariti Ella.

Apa yang lebih penting, Kaka ada bakat tersendiri dan dia mahu membina nama atas usaha sendiri.

“Persamaan yang orang nampak dari segi imej Kaka dengan Ella adalah perkara biasa. Memang sejak kecil lagi Kaka membesar dengan semua adik-beradik arwah ayah, jadi sudah tentu sedikit sebanyak akan ada persamaan.

“Kaka datang ke dalam bidang seni ini bukanlah nak tiru atau menyaingi sesiapa saja termasuk mak cik Kaka (Ella). Kaka sendiri adalah peminat Ella dan dia sudah berada dalam kelas tersendiri.

“Kaka hanya mahu berkongsi apa yang Kaka ada. Kaka suka menyanyi dan mahu orang mendengar Kaka dengan corak nyanyian dan muzik pilihan Kaka sendiri,” katanya.

Sentiasa berasa teruja setiap kali menonton persembahan Ella, gadis berbintang Taurus itu akui dia kerana kamaruk pancaran populariti.

Perjuangan awal Kaka dalam bidang seni suara adalah bagi memenuhi keinginan di hatinya yang sudah terbuku sejak sekian lama malah membawa bersama perjuangan arwah ayah.

“Kaka jadi anak yatim sejak berumur empat tahun dan ayah meninggal dunia disebabkan penyakit buah pinggang. Ayah seorang yang penyayang dan terlalu baik mungkin disebabkan itu sampai sekarang ibu tidak mahu mencari pengganti ayah (air matanya mula bergenang).

“Kaka ingat lagi, ketika hayat ayah Kaka masih ada, dia suka bermain gitar dan menyanyi. Bila Kaka ikut menyanyi ayah akan puji suara Kaka. Memang kami adik-beradik tahu ayah berharap sangat salah seorang daripada anaknya menjadi penyanyi.

“Dalam empat beradik, Kaka yang paling meminati muzik. Apa pertandingan Kaka tidak pernah masuk? Talentime, karaoke, boria, nasyid sampaikan marhaban pun Kaka pernah masuk. Masa Kaka berumur 17 tahun, Kaka pernah cuba One In A Million tapi hanya melepasi peringkat awal saja,” katanya.

Akui Kaka, meskipun minat menyanyi setinggi gunung namun dia mengambil masa yang lama untuk melangkah masuk ke lapangan seni suara. Salah satu alasannya, Kaka bimbang tidak mampu mengendalikan kontroversi kerana dia pernah melihat ibu dan ayah saudaranya, Ella & Korie dihambat dengan gosip menyakitkan.

“Selain bimbangkan kontroversi mungkin masa itu Kaka masih budak. Kaka belum pandai ‘grooming’. Paling penting jangan buat sesuatu apabila kita belum yakin,” katanya.
Penyanyi Kaka bersaudara dengan Ella
Bagaimanapun, selepas pelakon dan pelawak Zizan Razak serta komposer Malique (Too Phat) meyakinkan dirinya untuk mara, barulah datang satu semangat ke dalam jiwanya sehingga bersetuju merakamkan single, Bawaku Pergi pada Disember 2011.

Ditulis sepenuhnya oleh Malique, Bawaku Pergi menyaksikan kolaborasi duet antara Qaqa dan Zizan. Percaturan itu boleh dianggap berjaya berdasarkan maklum balas peminat juga kekerapannya menembusi corong-corong radio ketika ini. Malah difahamkan, video klip lagu itu di YouTube sudah mendapat 800,000 tontonan.

“Kali pertama dengar, Kaka sudah suka. Bawaku Pergi bukan saja sebuah lagu yang ‘catchy’ tetapi liriknya membawa maksud mendalam iaitu kebebasan. Pada tafsiran Kaka, lagu ini bercerita mengenai mereka yang ingin keluar daripada belenggu masalah.

“Syukur sangat kerana lagu ini mula diterima. Kejayaan lagu ini adalah kerana Zizan dan Malique. Bekerja dengan orang-orang yang ada nama besar menjadikan impak lagu itu pantas.

“Kaka terharu kerana dapat merasa sedikit kesan daripada kolaborasi ini. Ikhlas cakap, Kaka sangat terima kasih kepada Zizan dan Malique,” katanya bernaung di bawah pengurusan, Wire Fame Sdn Bhd.

Mahu terus serius dan berjaya dalam lapangan seni suara, untuk rencana single kedua nanti Qaqa mahu merakamkan lagu yang mampu menyerlah vokalnya. Selain menyimpan angan bekerjasama dengan ‘singer-songwriter’ Yuna, Meet Uncle Hussain dan Datuk M Nasir.

“Bawaku Pergi menonjolkan vokal Kaka secara santai dan untuk lagu yang kedua nanti, Kaka mahukan sesuatu yang menyerlahkan lagi vokal. Kaka sangat suka konsep lagu seperti Jessie J yang bertenaga.

“Ada orang tanya, kenapa Kaka tidak membawakan lagu rock seperti Ella? Terus-terang Kaka rasa tidak ada orang yang boleh nyanyi lagu rock macam Ella.

“Mungkin suara Kaka serak tapi teknik nyanyian Kaka lebih kepada R&B dan soul,” katanya. 

Zizan & Kaka berduet dalam lagu Bawaku Pergi
Dari kisah keluarga, mengupas pula perancangan masa depannya namun ada seperkara yang belum sempat ditanya. Kisah percintaan wanita bermata cantik itu dengan penyanyi muda berbakat besar, Aizat.

Tahun lalu, Kaka mengikuti Aizat ke majlis Santai Jomchat bersama Aizat anjuran Harian Metro di Port Dickson. Kaka bukan saja kelihatan mesra dengan Aizat bahkan juga keluarga bintang Akademi Fantasia (AF) itu.

“Kami hanya kawan tapi Kaka bersyukur dapat kenal Aizat. Dia hebat tapi tidak sombong. Kaka sebenarnya kagum dengan kemampuan Aizat malah menjadikan dia sebagai contoh untuk berjaya dalam bidang ini,” katanya. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan