Pertemuan pada 5 November 2011 menjadi detik terindah buat pasangan ini. Pertama kali beradu mata, terdetik rasa luar biasa hingga muncul rasa suka. Sejuk mata memandang, itulah tafsiran pertama Betty ketika memandang wajah Bruce.
Meskipun tidak meletakkan harapan, bagaikan sudah ditakdirkan persahabatan yang baru terjalin membuahkan rasa kasih hingga secara rasmi mereka bertunang 14 Jun lalu. “Dalam doa ketika mengerjakan umrah tahun lalu, saya mohon Allah pertemukan dengan jejaka jujur, bertanggungjawab dan berilmu. Saya tidak dambakan lelaki kaya, cukup jika dia berkeperibadian mulia, baik hati dan suka memajukan diri.
Betty Banafe bersama Bruce bakal suaminya |
“Mungkin sudah tertulis dia jodoh saya. Pada 28 Mei lalu, dia melamar dan ketika itu saya minta dia melamar sekali lagi di hadapan keluarga di Johor. Mulanya dia tidak faham dan selepas menjelaskan adat Melayu, dia datang bertemu keluarga pada 14 Jun lalu,” kata pemilik nama Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe. Datang dari budaya berbeza, membuatkan hubungan mereka lebih manis bahkan banyak momen mencuit hati apabila jejaka berdarah kacukan Inggeris-Lubnan itu cuba menyesuaikan diri dengan adat istiadat Melayu. Ketika majlis pertunangan, Bruce terkejut ramai ahli keluarga dan jiran meraikan kedatangannya. Lazimnya, rombongan meminang disertai ahli keluarga namun hanya Bruce yang hadir. Ternyata sikap berani Bruce mendapat pujian keluarga Betty. “Dia hairan apabila ada kenduri pada hari pertunangan kami. Situasi ketika itu memang lawak. Apa tidaknya, dia datang seorang diri dan dengan semangatnya menyatakan hasrat mahu memperisterikan saya. “Keluarga saya faham dia belum mengerti budaya kita namun kesungguhannya membuatkan semua orang kagum.
Dia kini dalam proses mempelajari budaya kita dan sudah dapat menyesuaikan diri sedikit demi sedikit,” katanya. Untuk majlis resepsi di Danga Bay Convention Centre, Johor Bharu, Johor pada 12 Disember nanti, kata Betty, Bruce mulanya terkejut bila dia mengatakan mengundang ramai tetamu walhal dia hadkan 100 jemputan saja.
“Saya jelaskan kepadanya budaya Malaysia tidak sama dengan tempat kelahirannya, England. Di sini mana boleh jemput 100 tetamu saja, tak logik. Saudara mara, jiran tetangga, kawan-kawan, semua kena ambil kira. Paling tidak pun 500 dan boleh cecah hingga 1000 jemputan. “Kini dia mula faham budaya Melayu. Biarpun tidak sepenuhnya, dia menunjukkan minat yang tinggi. Dia suka budaya Melayu dan menyifatkan orang Melayu baik hati dan pandai menjaga hati orang,” kata penyanyi dan pelakon berdarah kacukan Melayu, Arab dan Jawa ini.
Menyentuh persiapan hari bahagianya, Betty yang dilahirkan pada 14 November 1979 menjelaskan, 50 peratus sudah siap malah dia akan menggayakan baju rekaan pereka fesyen terkenal Singapura, Lulu Hadad ketika majlis akan nikah bertemakan budaya Arab. Ia akan dilangsungkan di kediaman keluarganya di Johor.
“Untuk majlis resepsi, kami belum ada konsep tapi mungkin menggabungkan elemen rojak melambangkan asal keturunan kami iaitu Melayu, Jawa, Arab dan Inggeris. Semuanya dapat dilihat dalam penyediaan makanan dan dekorasi.
“Keluarga Bruce akan turun dari England, jadi saya mahu mereka terpesona keindahan budaya gabungan dua keluarga ini. Agak mengejutkan, Bruce sangat teliti menguruskan persiapan malah lebih kreatif daripada saya. Dia yang cadangkan tema Arab untuk majlis ijab kabul kami. “Biarpun bapanya dari Lubnan, cara hidup mereka lebih kepada Inggeris dan dia teringin majlis kami diadakan dalam suasana budaya Arab. “Saya bahagia hubungan kami direstui keluarga kedua belah pihak. Keluarganya baru menetap di sini dan saya sangat rapat dengan ibunya. Keluarga Bruce sangat baik hati dan menghormati orang Asia lebih-lebih lagi ibunya. “Bruce banyak mewarisi keperibadian ibunya. Biarpun muda dia matang, mempunyai ciri seorang ketua dan mahu mendengar nasihat,” katanya.
Alhamdulillah,insyaallah dipermudahkan segala urusan mereka.
BalasPadam