Isnin, 29 Oktober 2012

Myjodoh.net- Awas! Perangkap Kasanova

Bagi memenuhi selera mewahnya, seorang lelaki dari Kuala Berang, Terengganu didakwa memanipulasi mangsa-mangsanya yang dikenali melalui satu laman web mencari jodoh Myjodoh.net bagi mengaut wang mudah.
Dengan menyamar sebagai jurutera dan mendakwa mempunyai talian saudara dengan salah seorang Exco kerajaan negeri Terengganu, lelaki berkulit sawo matang dan berusia 37 tahun itu menabur janji akan berkahwin dengan mangsanya sebelum mengebas wang mangsanya.

Bagaimanapun, tidak semua kaum hawa yang mendaftar di laman web berkenaan menjadi pilihannya kerana hanya wanita bujang atau janda yang berumur antara 20-an hingga 30-an menjadi sasarannya.

Ciri-ciri wanita yang menjadi pilihannya ialah mereka yang berbadan besar, montok dan gebu.

Salah seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Fatin Amira, 20-an mendedahkan, dia terjerat dengan permainan kotor lelaki yang dikenalinya dengan nama Marzuki pada awal tahun 2011.

“Myjodoh.net yang ‘menyatukan’ kami. Walaupun dia tidak kacak tapi bila bercakap dengannya, jantung saya berdebar-debar, hati asyik teringat. Susah nak gambarkan, pendek kata dia memang hebat bermain dengan kata-kata manis,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam. kosmo

Seorang lagi  mangsa  yang mahu dikenali sebagai Wani, 28, amat mengejutkan apabila kekasihnya itu bukan saja berjanji untuk bertunang dengannya pada 26 Ogos lalu, tapi turut membuat janji serupa dengan empat lagi wanita lain.

Wani yang bekerja sebagai guru sekolah rendah berkata, dia menghubungi empat wanita itu yang mengaku senasib dengannya apabila wang mereka turut dikikis lelaki sama.

“Saya percaya dia ada tidak kurang 20 teman wanita yang semuanya dikenali menerusi laman web mencari jodoh sama. Setakat ini, saya dapat hubungi 10 daripada mereka dan empat dijanji untuk bertunang pada tarikh sama dengan tarikh pertunangan saya,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Wani, ketika berkenalan dengannya September tahun lalu, lelaki itu memperkenalkan diri sebagai Marzuki, 37, berasal dari Terengganu dan bekerja sebagai kontraktor. hmetro







Tiada ulasan:

Catat Ulasan