Selasa, 20 Ogos 2013

Sinopsis Drama Diandra-Lestary TV3

Menggantikan 'Kisah Cinta', jangan lepaskan peluang menyaksikan drama romantik komedi, ‘Diandra’ yang menggandingkan Aiman Hakim Ridza dan Nur Fathia menerusi slot Lestary, bermula 20 Ogos 2013, setiap hari Selasa jam 9.00 malam.

Drama bersiri 13 episod terbitan Asia Media Content (AMC) ini mengisahkan Diandra (Nur Fathia) yang merupakan anak kepada seorang hartawan terkenal iaitu Datuk Fikri. Diandra seorang gadis yang lasak, ceria dan berminat dalam seni mempertahankan diri terutamanya, ‘kick-boxing’. Datuk Fikri berharap agar Diandra akan bekerja di syarikatnya tetapi Diandra yang lebih suka sesuatu yang mencabar terpaksa mengecewakan ayahnya.
Drama Diandra-Aiman Hakim Ridza dan  Nur Fathia

Adam Fahmi (Aiman Hakim Ridza) pula merupakan seorang aktor yang sangat terkenal. Dia bukan sahaja kacak tetapi bakat semulajadi dalam lakonan juga membuatkannya sentiasa popular. Dek kerana populariti dan kelancangan mulutnya, Adam mempunyai ramai musuh sehingga dia menerima ugutan bunuh.

Selepas berbincang dengan kawan baiknya, Kamal, Adam bersetuju untuk mengambil seorang pembantu peribadi dan juga pengawal keselamatan yang boleh menguruskan jadual dan keselamatan dirinya. Apa yang tidak dijangka oleh Adam ialah Kamal mencadangkan kawan baiknya, Diandra. Walaupun masing-masing tidak berkenan dan tidak bersetuju, selepas dipujuk oleh Kamal, Adam dan Diandra cuba bekerjasama.

Diandra meluat dengan perangai Adam yang angkuh dan juga kaki perempuan manakala Adam pula melayan Diandra yang lasak itu seperti seorang lelaki. Diandra yang selalu dibuli itu mencari peluang untuk mengenakan Adam. Satu hari, mereka bergaduh dan telah menolak Adam ke kolam renang. Tiada siapa yang mahu menolong Adam namun akhirnya, Diandra menjadi panik apabila dia mendapati Adam tidak pandai berenang dan hampir lemas.

Bagi menebus kesalahannya, Diandra melayan karenah Adam sepanjang menerima rawatan di hospital. Barulah Diandra mempunyai peluang untuk mengenali isi hati Adam yang sebenarnya seorang yang sensitif. Lama-kelamaan, Diandra mula mempunyai perasaan aneh terhadap Adam malah dia juga mencemburui bekas kekasihnya, Fida yang kembali menagih kasih.

Sejak Fida muncul kembali dalam hidup Adam, Adam seolah-olah melupakan Diandra. Adam yang terasa diperbodohkan oleh Diandra selepas mengetahui identiti sebenar Diandra telah bersikap dingin kepadanya. Justeru, Diandra membuat keputusan untuk menjauhi diri daripada Adam dan bekerja untuk ayahnya.

Adakah Adam dan Fida akan meneruskan percintaan mereka? Adakah Adam akan rasa kehilangan Diandra kerana mereka saling memerlukan? Apakah kemesraan dan perasaan sayang yang wujud antara Adam dan Diandra adalah cinta? Semuanya bakal terjawab dalam 'Diandra' yang bakal disiarkan dalam slot Lestary di TV3, setiap hari Selasa jam 9.00 malam bermula 20 Ogos 2013.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan