Isnin, 20 Februari 2012

Terkini! Latiff Ibrahim Meninggal Dunia-20 Februari 2012

Penyanyi dan pelakon era 70-an, Latiff Ibrahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara, di sini pada pukul 5.50 petang tadi akibat komplikasi jantung. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di samping keluarga termasuk isteri dan anak-anak.

Penyanyi Abdul Latif Ibrahim,60, atau lebih dikenali sebagai Latif Ibrahim yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini, memberitahu isterinya, Masriah Mahadan yang dia “teringan hendak balik”.

Masriah,57, memberitahu, kata-kata itu disuarakan Latif ketika dia dimasukkan ke Unit Rawatan Korinari (CCU) IJN pada Sabtu lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk jantung.

“Di beritahu saya dia teringin nak balik. Pada masa itu saya tak tahu dia nak balik mana? Tak sangka pula dia rupa-rupanya hendak meninggalkan kita buat selama-lamanya,” kata Masriah kepada mStar Online ketika di temui di rumahnya di AU3, Keramat dekat sini, malam Isnin.

Menurut Masriah, selama 38 tahun menjadi isteri kepada Latif, Allahyarham merupakan seorang suami yang amat penyayang dan sentiasa memenuhi kehendaknya.

Malah Allahyarham juga sentiasa mahu berada di sisinya dan bagaikan tidak boleh berenggang.

“Dia selalu ingin berada di samping saya. Selama perkahwinan kami, saya menganggap arwah sebagai suami yang amat baik dan bertanggungjawab. Saya bersyukur, ketika arwah sakit, saya dapat menjaganya dengan baik sehinggalah dia menghembuskan nafas terkahir,” katanya.

Sementara itu adik Allahyarham iaitu Datuk Khatijah Ibrahim berkata, Allahyarham sepatutnya bersama keluarga menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada 13 Mac depan tetapi hajatnya tidak kesampaian.

"Kami turut sedih kerana arwah bukan sahaja tidak dapat menunaikan impian untuk mengerjakan umrah tetapi dia meninggal dunia tiga hari sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-60 tahun pada Khamis ini," katanya.

Selain penyakit jantung, Allahyarham yang turut menghidap kencing manis dan paru-paru berair pernah menjalani pembedahan pintasan jantung kira-kira 12 tahun lalu.

Bagaimanpun sejak tahun lepas, Allahyarham sudah tiga kali dikejarkan ke IJN akibat serangan yang sama.

Selain menyanyi, Allahyarham juga aktif berlakon dan telah membintangi lebih 15 buah filem termasuklah Hapuslah Air Matamu, Dendang Perantau, Sumber Ilhamku dan Ragam Pemandu.

Filem terakhir Allahyarham ialah 4 Madu arahan A.Razak Mohaideen yang diterbitkan pada tahun 2010.

Beliau turut popular dengan lagu Nora, Pilihklah Aku, Mengenang Dikau Kembali dan lagu joget Manis Kata Di Bibir Saja.

Jenazah dibawa pulang ke rumahnya di AU3, Keramat dekat sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, selepas solat Zohor, Selasa.

Selain Masriah, Allahyarham turut meninggalkan dua orang anak iaitu Mohd. Hazriq,35, dan Haznally,34.

2 ulasan: