Khamis, 29 Mac 2012

Gambar Khairul Fahmi@Apek & Leuniey Dalam Iklan Simplysiti

Datuk Siti Nurhaliza, menafikan kemunculan pasangan penjaga gol Harimau Muda, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali dengan panggilan Apek, serta gadis yang pernah dikaitkan dengannya iaitu Nur Eilunie Natasha Nazri atau Liuniey dalam iklan wangian terbaru keluaran SimplySiti iaitu Pure, Memoir dan Precious, sebagai satu pengesahan mereka memang bercinta.
Iklan minyak wangi Simplysiti
Persoalan itu timbul kerana pelbagai spekulasi serta tanda tanya apakah gosip yang tersebar sebelum ini adalah benar? Apakah Apek dan Liuniey memang mempunyai hubungan intim, tetapi sengaja dirahsiakan? 

Sewaktu gosip kononnya Fahmi menjadi punca Liuniey putus tunang dengan pasangannya tersebar, kedua-duanya bermati-matian menafikan perkara berkenaan. Malah Liuniey ketika ditemubual mengakui terkejut kerana hal terbabit langsung tiada kaitannya dengan ahli sukan terkenal itu.

Tegas Siti yang juga Presiden SimplySiti Sdn Bhd, pihaknya juga tidak berhasrat menangguk di air keruh, dengan mengambil kesempatan atas kontroversi yang menimpa mereka sebagai perencah iklan terbabit.

“Kami sedar, apabila iklan ini menampilkan Khairul Fahmi dan Liuniey sebagai sebahagian daripada pelakonnya, mesti ramai yang beranggapan kami sengaja memilih mereka berdasarkan kontroversi yang dilalui pasangan itu sebelum ini. Bukan saja Apek dan Liuniey yang akan berlakon dalam iklan ini, tetapi kami juga menggunakan khidmat dua lagi bakat baru iaitu ahli korporat muda, Pengurus Akaun di Naza Italia Sdn Bhd, SM Zul Khalis SM Zulkifli, dan Pengarah Kumpulan Ibex, Mohamed Adam Yahya.

“Apek dipilih untuk mewakili minyak wangi yang menonjolkan elemen aktif dan ceria, sesuai dengan statusnya sebagai ahli sukan. Dalam iklan ini, tiada babak membabitkan mereka berdua. Itulah juga syarat dikenakan kepada kami sebelum kedua-duanya setuju untuk membintangi iklan ini,” kata Siti ketika ditemui pada sesi penggambaran komersial wangian itu, di Bandar Sri Damansara, Isnin lalu.

Menurut Siti lagi, pemilihan Liuniey sebagai watak utama dalam iklan itu bukanlah dibuat secara suka-suka, tetapi gadis berusia 21 tahun itu perlu menjalani uji bakat, sama seperti calon lain.

Bagi Liuniey, walaupun pada awalnya dia gementar kerana bimbang kemunculan dalam iklan itu akan membuatkan isu membabitkan dirinya dan Apek kembali dibangkitkan, namun dia akhirnya mengambil prinsip berani kerana benar.

“Antara kami memang tiada apa-apa. Jadi, untuk apa saya perlu rasa takut atau bimbang?Lagipun dalam iklan itu, memang tiada babak yang menemukan kami berdua" ujar gadis jelita ini.

Sementara itu, Apek yang kelihatan tenang sepanjang penggambaran itu berkata, apa yang perlu dilakukan adalah sentiasa bersikap profesional.

“Saya tiada masalah untuk berlakon dalam iklan ini walaupun mungkin ada pihak yang akan mengaitkannya dengan kontroversi sebelum ini. Kita harus bersikap profesional. Lagipun antara kami memang tiada hubungan apa-apa, jadi tak ada apa yang perlu dirisaukan,” ujar jejaka berusia 23 tahun ini.

Iklan arahan Casper sepanjang 30 saat itu bakal ditayangkan buat julung kali pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 yang dipancarkan secara langsung di saluran TV3, 8 April ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan