PRODUSER MIG Pictures, David Teo meluahkan rasa kecewa dengan tindakan seorang produser menandatangani perjanjian dengan TV3, sekali gus menamatkan kerjasama dengan syarikatnya. Menurutnya, tindakan itu dianggap sebagai sudah lupa diri selepas filem yang dihasilkan oleh pengarah dan produser terbabit dikatakan mendapat keuntungan besar.
“Orang sudah membina jambatan untuk dia, tetapi dia memotong pertalian itu selepas melalui jambatan ini. Ia bagaikan kacang lupakan kulit dan perbuatan itu adalah tidak baik.
“Kenapa selepas dapat duit, baru ia ditinggalkan,” kata David ketika melancarkan dua filem terbaru terbitannya di Petaling Jaya, semalam.
Walaupun tidak disebutkan namanya, kenyataan itu agak jelas merujuk kepada tindakan Ahmad Idham yang menandatangani kerjasama dengan TV3 pada 23 Mac lalu.
Ahmad Idham membuat keputusan itu kerana mendakwa karyanya diciplak dan tiada perlindungan diberikan apabila filemnya disiarkan menerusi Astro First.
“Kenapa selepas kira-kira enam bulan filemnya ditayangkan di Astro First dan mendapat keuntungan, baru dia dengan senang hati mengundurkan diri,” kata David.
Beliau menegaskan, MIG akan terus bekerja dengan Astro First dengan menganggap kewujudan saluran ini adalah peluang terbaik untuk syarikatnya mengetengahkan barisan filem yang diterbitkan.
“Ia sepatutnya dianggap sebagai satu rezeki, bukannya satu promosi untuk menjatuhkan filem keluaran syarikat produksi saya.
“Saya tidak akan terpengaruh dengan tindakan penerbit itu.
Saya akan meneruskan kerjasama dengan Astro First dan terus membenarkan barisan filem terbitan saya disiarkan di saluran itu selepas setiap filem selesai ditayangkan di pawagam.
“Sekarang filem 7 Petala Cinta sedang disiarkan di Astro First,” katanya.
Sementara itu, filem Pada Suatu Cinta Dahulu dan Bro! Nampak Motor Gua? adalah terbitan ke-77 dan 78 syarikat ini. Filem Pada Suatu Cinta Dahulu diarahkan oleh Hashim Rejab, manakala Bro! Nampak Motor Gua? arahan Ajiboy.
Mengulas dua filem terbitannya itu, David berkata, dia tidak akan berhenti untuk terus menerbitkan filem kerana pihaknya mempunyai pengarah berbakat menerusi skim Pengarah Muda selain untuk meneruskan rentak penerbitan filem secara konsisten.
Menurutnya, menerusi penerbitan filem secara aktif juga, beliau bukan saja dapat mengasah bakat pengarah muda, tetapi dapat membantu menggilap lebih ramai pelakon baru yang mempunyai potensi untuk sebaris dengan pelakon popular sekarang.
“Banyak pelakon baru menyertai MIG. Nora Danish juga baru menyertai kami. Kami juga mahu menghasilkan pelakon yang bagus seperti Shaheizy Sam, Farid Kamil dan Yana Samsudin,” katanya.
Kalau dah dapat tempat kerja lebih selesa dan lumayan boleh je pindah kan ....
BalasPadammcm tu pulak.....
BalasPadamalahai macam2 dengan industri seni ni ..kan ?
BalasPadamreleks la david. masing2 dgn rezeki masing2 :) just sama2 usaha tingkatkan mutu perfileman negara...
BalasPadam