TAHUN lalu, tiga persembahan teater terbitan CTRA Production yang dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan kerana ‘Perhimpunan Bersih’.
Antaranya, teater Mak Dara Nyonya yang diterajui Juhara Ayob, Misha Omar, Sarimah Ibrahim dan Fara Fauzana yang mendapat sambutan hangat peminat teater tanah air.
Ketika dihubungi, Penerbitnya, Siti Rohayah Attan berkata, pihaknya menganggarkan mengalami kerugian sekitar RM150,000, ketika itu. Terbaru, kata Rohayah, pementasan dengan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Upin & Ipin The Musical pula bakal menerima nasib sama apabila Bersih 3.0 diumumkan akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 28 April ini.
“Seluruh warga produksi juga berasa sangat kecewa kerana tiket pada tarikh itu sudah terjual sebanyak 80 peratus pada sebelah malam dan 60 peratus bagi persembahan siang yang akan dipentaskan dalam bahasa Inggeris.
“Apa yang menyedihkan, kebanyakan penonton yang membeli tiket pada tarikh berkenaan datang secara berkumpulan dari luar kota iaitu Segamat, Ipoh, Pulau Pinang dan Terengganu,” katanya.
Justeru, kata Siti Rohayah lagi, pihaknya terpaksa mengambil langkah segera dengan memilih tarikh baru iaitu pada 1 Mei bagi persembahan siang dalam bahasa Inggeris dan 7 Mei bagi persembahan sebelah malam.
“Langkah yang tidak diduga ini sudah tentu membabitkan penambahan kos dari segi penyewaan ruang, bayaran tambahan kepada pelakon dan tenaga produksi, peningkatan sewa peralatan teknikal, logistik dan sebagainya.
“Penonton yang sudah membeli tiket untuk 28 April ini boleh menukar tarikh tiket mereka pada tarikh baru atau boleh meminta wang mereka dikembalikan melalui ejen tiket iaitu Smart Mobile (ticket2u.biz),” katanya.
Sekalipun kecewa kerana terpaksa berdepan dengan kehendak segelintir masyarakat berlainan fahaman politik, Rohayah berkata, dia melihat apa yang berlaku itu sebagai cabaran dalam memartabatkan pentas teater tanah air.
“Dua puluh tahun saya terbabit dalam bidang teater dan menerbitkan hampir 30 persembahan di seluruh negara, bukan sedikit cabaran yang perlu dilalui. Bukan saja terpaksa menunda dan membatalkan persembahan, malah pernah ditipu ratusan ribu ringgit oleh penaja di luar sana.
“Sebab itu, saya beranggapan apa yang bakal terjadi dalam Upin & Ipin The Musical atas kehendak Allah yang mahu mematangkan lagi saya dan pasukan produksi dalam mencari rezeki halal,” katanya.
Antara teater terbitan CTRA Production sebelum ini ialah Muzikal Tun Mahathir, Muzikal Lantai T Pinkie, Dejavu, Bukan Dejavu, Anugerah, Muzikal Gamat, Bulan Menangis dan Muzikal Ibu Zain.
Upin & Ipin The Musical yang berdasarkan siri televisyen popular Upin & Ipin dan ditaja KPJ Healthcare Berhad ini mula dipentaskan di IB bermula 14 April lalu sehingga 7 Mei nanti.
Keterangan lanjut mengenai teater ini bolehlah melayari www.ticket2u.biz.
kesian..x pasal2 kene cancle..
BalasPadamsabar la.. mintak la ganti rugi kat organizer bersih tue.. dapat cover rugi tue sikit...
BalasPadam