Selasa, 23 Ogos 2011

Filem Jln.Pintas dikeluarkan dalam bentuk DVD


Rumah Anak Teater (RAT) dengan kerjasama Hyper Pictures Sdn Bhd mengumumkan projek filem sulung mereka berjudul JLN. PINTAS. Filem ini akan dikeluarkan dalam bentuk dvd. Karya ini merupakan olahan dan arahan Nam Ron. Majlis pelancarannya akan diadakan pada 2 Oktober, 11am di Wisma Bentley KOTA DAMANSARA.



Jln Pintas adalah tentang takdir. Walau jalan mana yang kita pilih kita tetap bertemu dengan takdir kita, apa yang perlu, kita hanya senyum dan berserah kepadaNya.
Sinopsis filem JLN.PINTAS
Jalan Pintas merupakan sebuah cereka yang berkisar tentang watak Bakar -seorang pemuda lepasan ijazah dalam jurusan kejuruteraan , juga seorang anak lelaki tertua dalam keluarga (yang tidak lagi berbapa), yang datang ke Kuala Lumpur dari kampung, untuk mencuba nasib demi menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga –ibu dan seorang adik perempuannya.

Melalui Jalan Pintas, kita melihat watak seorang pemuda yang biasa, yang boleh kita jumpa di mana-mana, yang menjadi mangsa kepada janji-janji delusi Kuala Lumpur. Menelusuri perjalanan yang Bakar tempuhi dalam ruang waktu satu hari – dari pagi ke petang, hanya dengan tujuan untuk menghadiri sesi temuduga; kita sebenarnya tanpa sedar sedang melihat sebuah kehidupan seorang manusia, yang terperangkap antara harapan dan beban, hingga akhirnya, disebabkan kenyataan, angan-angan berubah menjadi dendam.
Bakar yang sentiasa membiarkan pilihan-pilihan hidup bermain di ruang ciptaan kotak fikirnya, tanpa sengaja telah menghasilkan justifikasi kebarangkalian serta risiko yang bakal dihadapinya untuk setiap pilihan yang bakal dibuat. Dan pada akhirnya, Bakar, juga kita, tetap keliru; apakah kita yang terlalu bodoh dan dungu, atau takdir hidup memang seharusnya begitu?
Jalan Pintas dibintangi oleh pelakon-pelakon muda berbakat seperti Bront Palarae, Zahiril Adzim, Mislina Mustafa, Sara Ali, Fikhree Bakar, Taiyudin Bakar, Dira Abu Zahar, Xavier Fong, Dina Zainal, Yaya Nazri, Beto Kushairy, Rizainuddin, Azhanrani dan Ezyandee. Pelakon utama ialah artis residen pertama RAT Production, Auf Abdul Razak. Antara pelakon tambahan ialah Redza Minhat.budiey



JLN-Pintas FB

Tiada ulasan: