Sabtu, 22 Oktober 2011

Selamat Pengantin Baru-My Idol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan (MIRS1M1P)

Sepuluh pasangan yang terpilih dalam program My Idol Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan (MIRS1M1P) yang julung kali diadakan di negeri ini, selamat diijab kabul dalam satu majlis lafaz akad nikah di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.

Akad nikah oleh Juru Nikah negeri yang juga bekas Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Ismail Ali, berlangsung kira-kira jam 4.30 petang, sebaik selesai solat Asar. Bagi memeriahkan majlis, 300 ahli keluarga pihak pengantin lelaki dan perempuan hadir pada majlis anjuran Pejabat Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.



Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang juga Pegawai Penyelaras Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu.

Pasangan bertuah itu diberi wang tunai RM5,000 dan 1,000 keping kad jemputan selain segala perbelanjaan perkahwinan mereka ditanggung pihak penganjur.

Kemuncak program MIRS1M1P itu, semua pasangan itu akan disandingkan secara beramai-ramai dalam majlis Perkahwinan Perdana di Dataran Shahbandar di sini, kira-kira jam 9 malam ini yang dijangka turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said serta 5,000 tetamu.

Mengulas program itu, Wan Ahmad Farid berkata program itu hasil kerjasama Pejabat Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT); Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT); Pejabat Pelancongan Malaysia Terengganu; Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Terengganu.

Antara syarat peserta yang ingin menyertai program itu dikehendaki menulis karangan tidak kurang 300 perkataan bertajuk 'Kenapa Saya Layak Dipilih', perlu melepasi beberapa sesi temu duga dan setiap pasangan mesti berpendapatan kurang RM1,500 sebulan, berumur 21 tahun ke atas, belum berkahwin dan bermastautin dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.



1 ulasan:

puanbee berkata...

wah seronoknyaaa

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/