Khamis, 19 Januari 2012

Roslin Hashim Bernikah Kali Ketiga Di Thailand

Bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim yang pernah dikaitkan atas dakwaan khalwat dengan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, mengaku berkahwin buat kali ketiga pada tahun lalu.


Bagaimanapun, Roslin enggan memberitahu siapa wanita yang menjadi isterinya itu walaupun berulang kali diasak dengan soalan tersebut oleh wartawan yang menemu ramah beliau di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.



Ketika ditanya mengapakah Roslin, 36, bertindak merahsiakan identiti isterinya, beliau hanya menjawab:




"Minta maaf, saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut mengenai wanita itu bagi menghormati beliau dan keluarganya."

Daripada sumber terdekat, difahamkan majlis pernikahan berlangsung di Thailand Disember lalu yang hanya dihadiri pasangan terbabit dan ibu bapa pengantin perempuan.

Mereka dikatakan melangsungkan pernikahan di luar negara berikutan kes Roslin masih dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Walaupun ahli sukan popular di arena hiburan itu cuba menyembunyikan identiti isteri barunya, tetapi difahamkan gadis lingkungan 20-an itu dikenali sebagai Ayu. 

Malah, walaupun belum bercadang memperkenalkan suri hatinya dalam waktu terdekat, pasangan terbabit dilaporkan bakal mengadakan majlis kenduri pada 27 Januari ini di lokasi masih dirahsiakan.

Isterinya itu bukan di kalangan individu dikenali ramai, namun sebelum ini dikatakan pernah menjalin hubungan cinta dengan bintang bola sepak.

Pemain badminton itu berkata demikian selepas perbicaraan secara tertutup tuntutan ganti rugi perkahwinan yang dikemukakan beliau terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamed, 35.

Selain Faizah yang dinikahi pada 30 Januari 2007, Roslin pernah berkahwin buat kali kedua dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 41, 9 Julai 2010.