Rabu, 29 Februari 2012

Rumah Nabil Dimasuki Pencuri

Kediaman pelawak terkenal tanah air, Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil dipecah masuk sekumpulan penjenayah di Kampung Masjid, Mambau di sini hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.55 pagi apabila penjenayah itu memecah masuk rumah keluarga juara Raja Lawak musim kedua itu yang kini dihuni oleh bapa saudaranya melalui bahagian belakang rumah itu.


Menurut bapa saudaranya, Rahmat Abd. Latiff, 55, kejadian itu disedari sebaik sahaja dia tiba di rumah selepas pulang menghantar anak perempuannya ke tempat kerja di sebuah pusat beli-belah berhampiran.

“Saya nampak pintu belakang rumah sudah terbuka dan kesan umpil pada jeriji tingkap di salah sebuah bilik tingkat bawah.

“Tanpa berlengah, saya bergegas masuk ke dalam rumah dan mendapati bilik tidur diselongkar, habis semua pakaian sudah bersepah di atas lantai,” katanya di sini hari ini.

Menurut Rahmat, setelah diperiksa, sebuah komputer riba jenis Lenovo milik anaknya yang berharga RM3,000 lesap.

“Ini kali pertama rumah ini dipecah masuk. Saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Mambau sejurus selepas kejadian,” kata Rahmat yang menetap di rumah itu sejak dua bulan lalu.

Difahamkan, Nabil bersama ahli keluarganya kini menetap di Kuala Lumpur dan jarang pulang ke rumah itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah.

2 ulasan:

Daddylicious berkata...

cubaan....hehe

Jendela Hati berkata...

gerun dgr pasal pecah umah, syukur tiada apa2 berlaku pada pakcik nabil..

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/