Khamis, 23 Februari 2012

Shila & Sharnaaz Macam Belangkas Aksi Romantis Dipersoalkan

Mereka kelihatan begitu romantis dan tidak menyembunyikan perasaan indah yang dirasai itu daripada mata umum. Malah kedua-duanya amat terbuka memperkatakan tentang hati dan perasaan masing-masing.

Tidak mahu berselindung dan amat memahami diri masing-masing sebagai seorang artis yang menjadi tumpuan, mereka mengakui lebih senang berterus terang mengenai hubungan masing-masing. Kini mereka ibarat belangkas yang tidak boleh dipisahkan. Ke mana sahaja bersama andai ada masa terluang.




Namun bukan mudah bercinta atas tiket seorang artis. Cabaran itu kini dirasai oleh pasangan Shila Amzah, 22, dan Sharnaaz Ahmad, 27. Masakan tidak, tatkala mereka berdua sedang enak diulik cinta, timbul isu hangat yang mengaitkan gaya romantis yang ditunjukkan pasangan ini. Ada mendakwa cara mereka di hadapan kamera terlalu berani malah kemesraan Shila dan Sharnaaz di khalayak ramai juga mula dipersoalkan.

Bagi anak kepada penyanyi popular tahun 1980-an, N.D. Lala itu, dia hanya mahu menjadi dirinya sendiri.

“Secara jujurnya kami berdua tahu akan batas yang perlu kami patuhi sebagai anak serta artis. Jadi, sepatutnya tidak timbul isu ini kerana peminat Shila sendiri sebenarnya tidak pernah menyuarakan rasa tidak senang mereka di atas kemesraan yang kami pamerkan,” katanya ketika ditemui pada majlis santai telefilem Patah Seribu lakonannya bersama Sharnaaz.

“Jika ada yang tidak senang dengan hubungan kami, saya minta maaf. Mungkin dengan teguran serta nasihat yang diberikan kami berdua akan mendapat hubungan yang direstui,” tambahnya.

“Bukan mudah sebenarnya untuk menjalinkan hubungan ini, tambahan pula dengan gelaran yang dipegang kami berdua. Bagaimanapun membawa gelaran sebagai seorang artis tidak bermakna hubungan ini harus dirahsiakan. Saya percaya saya juga milik peminat dan mereka mempunyai hak untuk mengetahui mengenai hubungan ini,” katanya.

Cara dia menghargai cinta pertamanya ini sedikit berbeza seperti orang lain apabila keluarga sentiasa menjadi landasan untuk memastikan kesucian hubungan tersebut.

“Kami tidak pernah keluar berdua bersama. Selalunya saya akan ditemani sama ada oleh ibu atau adik saya. Mungkin agak janggal pada yang tidak biasa. Namun bagi saya sendiri, ia merupakan cara terbaik untuk kami berdua malah Sharnaaz sendiri selesa dengan permintaan ini,” jelasnya.

Sementara itu Shila pula yang julung kali melangkah ke dunia lakonan melalui telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang memberitahu agak gementar dan gusar dengan kemampuan dirinya.

Masih tidak pasti apakah akan terus aktif dalam dunia lakonan, menurut Shila, buat masa ini dia lebih senang memberi tumpuan kepada bidang nyanyian.

Merancang mengeluarkan album baru tahun ini Shila berkata album itu nanti amat istimewa kerana dia yang akan menulis semua lagu-lagu yang terkandung dalam album ini nanti," katanya yang baru menjulang trofi Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL26) bersama trio 3Suara menerusi lagu Beribu Sesalan yang didendangkan bersama Ning Baizura dan Jaclyn Victor.





2 ulasan:

LadyzuL ⎝⏠⏝⏠⎠™ berkata...

moga mereka kekal la ye...

syafikah berkata...

nampak sweet jer dorang neh ^_^

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/