Khamis, 15 Mac 2012

Aiman Hakim ( Vanila Coklat)- Carian Paling Popular Di Google

Aiman Hakim Ridza
Pelakon yang popular menerusi drama bersiri Vanila Coklat, Aiman Hakim menjelaskan populariti yang dikecapnya kini tidak akan merubah dirinya sehingga menjadi seorang yang memilih.

Aiman berkata, walaupun sudah mula dikenali, hakikatnya dia adalah seorang pelakon baru yang masih dalam proses pembelajaran dan perlu mencuba pelbagai watak sekiranya ditawarkan.

"Popular tidak menjamin kejayaan saya sebagai pelakon kerana sedar diri saya masih baru dan perlu lebih banyak pendedahan dalam bidang lakonan.

"Kejayaan drama ini juga tidak bererti saya akan mula memilih watak selepas ini hanya kerana telah dikenali," ujarnya kepada mstar.com .

Aiman ditemui selepas majlis tayangan episod terakhir Vanila Coklat bersama peminat di Restoran Rasta Taman Tun Dr Ismail di sini, Selasa.

Dalam pada itu, ditanya mengenai namanya kini menjadi subjek carian kesembilan tertinggi daripada sepuluh carian tertinggi oleh pelayar Google di negara ini sepanjang bulan Februari lalu, Aiman berkata, dia tidak tahu mengenai perkara itu namun bersyukur kehadirannya dalam bidang seni mula disedari masyarakat.

Kenyataan itu dikeluarkan secara rasmi oleh pihak Google Malaysia baru-baru ini dan dalam kenyataan mereka, Aiman merupakan selebriti tunggal tempatan yang berada dalam senarai sepuluh carian tertinggi tersebut.

Katanya, populariti yang dimiliki perlu digunakan sebaik mungkin selain perlu terus berusaha untuk memperbaiki diri supaya mendapat sokongan peminat.

"Insya-Allah kejayaan saya tidak akan membuatkan saya hanyut sebaliknya akan lebih berusaha keras dalam membina nama dalam bidang ini.

"Saya akan terus melakukan apa yang dirasakan betul dengan mendapat nasihat daripada orang terdekat," katanya.

Sementara itu, Aiman yang juga bekas peserta program realiti Mentor musim ke-5 bersama mentornya, penyanyi Rahim Maarof memberitahu walaupun sudah mencipta nama sebagai pelakon dia masih memasang hasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian.

Kata Aiman, buat permulaan dia bakal muncul dengan single terbaru berjudul “Bicara Hati” ciptaan Adi dari kumpulan 6ixth Sense dalam masa terdekat.

"Nyanyian yang telah memperkenalkan nama saya dalam bidang ini jadi tidak semudah itu untuk terus saya lupakan cita-cita awal saya ingin melibatkan diri dalam bidang ini.

"Saya masih memasang impian untuk menghasilkan album sendiri pada masa hadapan tetapi buat permulaan saya bakal muncul dengan sebuah single baru.

"Bagaimanapun saya perlu menunggu lagu tersebut keluar kerana pihak produksi masih menunggu persetujuan daripada dua buah drama yang berminat untuk menggunakan Bicara Hati sebagai lagu tema untuk drama mereka,"ujarnya.

Bagaiamanpun kata Aiman, dia tidak mahu terburu-buru sebaliknya ingin menumpukan pada sesuatu perkara terlebih dahulu kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen.

"Sekarang saya banyak terikat dengan tawara berlakon dan kerana itu tidak mahu terburu-buru mengejar semua benda dalam satu masa," ujarnya.
Pelakon utama drama Vanila Coklat-Izara dan Aiman Hakim



2 ulasan:

Unknown berkata...

nak kena buat rambut macam dia la..hehehe

Jendela Hati berkata...

ramai dh skrg nie minat kat dia nie