Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Sungguhpun dikecam dengan pelbagai isu kontroversi, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex, 23, masih dikurniakan rezeki yang melimpah. Mungkin inilah berkat kesabaran dan kesungguhan jejaka dari Kelantan itu.
Apex jadi duta Puma |
Apatah lagi dengan kewibawaan dirinya yang masih lagi konsisten dengan mempamerkan permainan yang cemerlang. Kredibilitinya sebagai ahli sukan disegani telah memberi peluang keemasan buatnya untuk bergelar duta produk sukan iaitu Puma selama setahun.
Istimewa dari murai.com.my, Apex telah meluangkan masa untuk menjawab beberapa soalan mengenai pemilihannya sebagai duta jenama sukan terkenal itu.
Murai: Apa yang membuatkan Apex menerima tawaran untuk menjadi duta Puma?
Apex: Alhamdulillah, ia sudah tertulis untuk diri saya. Ianya sudah menjadi rezeki saya. Jadi tidak salah rasanya untuk saya menerima tawaran ini. Lagi pun, saya memang pengguna produk Puma. Terus-terang, saya memang meminati rekaan Puma yang ringkas dan menampak ciri-ciri dan identiti seorang atlet.
Murai: Benarkah Apex menerima tawaran ini kerana Apex dibayar lumayan?
Apex: Terpulanglah untuk orang menilainya. Saya menerima untuk menandatangani kontrak secara rasmi ini disebabkan saya merasakan saya patut untuk mencuba. Dalam erti kata yang lain, mencuba bidang baru.Lumayan atau pun tidak, saya merasakan ia cukup berbaloi berdasarkan komitmen saya dengan jenama ini.
Murai: Adakah benar Apex dibayar lebih setengah juta ringgit hanya untuk menjadi duta Puma?
Apex: Kelakar pula saya mendengarnya. Andaikata apa yang dikatakan anda ini benar, mungkin juga saya tidak perlu lagi bekerja keras untuk mencari rezeki. Sejujurnya, apa yang anda dengar itu tidak benar sama sekali. Saya pohon maaf kerana saya tidak boleh memberitahu nilai bayaran yang saya terima dari Puma. Apa yang boleh saya katakan adalah bayaran yang saya terima berbaloi dengan komitmen yang diperlukan pihak Puma dari saya.
Murai: Selain menggunakan atau memperagakan jenama Puma, tidakkah Apex terfikir atau mahu mencipta sendiri jenis pakaian sukan di bawah jenama terkenal ini mengikut citarasa Apex?
Apex: Jika benar peluang ini datang, saya akan gunakannya sebaik mungkin. Selain bekerja tetap sebagai penjaga gol kebangsaan, saya juga membuka perniagaan secara kecil-kecilan iaitu menjual baju secara online. Oleh itu, saya memang berminat untuk menghasilkan produk sukan sendiri. InsyaAllah, ia akan menjadi kenyataan kerana idea ini sedang dalam perbincangan lagi. Saya berharap agar ia mendapat sambutan jika impian saya menjadi realiti.
Murai: Selain Puma, adakah Apex bakal menjadi duta produk yang lain?
Apex: Syukur Alhamdulillah, sekarang ini saya masih mempertimbangkan lagi tawaran lain sebagai duta. InsyaAllah, jika sudah tiba masanya nanti, saya akan beritahu kepada umum terutama sekali penyokong saya. Apapun, saya berterima kasih kepada semua yang telah menyokong dan mempercayai bakat saya dalam bidang bola sepak. Tanpa anda semua, mungkin saya tidak peroleh semangat sebegini. Terima kasih daun keladi, jangan lupa menyokong lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan