Sabtu, 24 Mac 2012

Beruang Comel & Angsa Ganas Dalam Super Spontan

Setelah melakar sejarah menerusi program Maharaja Lawak Mega (MLM), Astro Warna (Saluran 132) terus bangkit dengan mewujudkan program Super Spontan (SS). 

Program yang menggantikan slot Raja Lawak 6 itu, akan mula disiarkan pada 30 Mac ini, pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna.


Apa yang menarik, program berkenaan menampilkan 14 peserta yang bukan saja lahir dalam bidang lakonan komedi, tetapi turut disertai peserta yang terdiri daripada penyanyi, pengacara, penyampai radio dan pelakon.


"Astro Warna selalu mencari idea dan konsep yang terbaru bagi memenuhi citarasa pelanggan pakej Mustika. Jadi, apabila kita laburkan untuk sesebuah konsep, kami perlu pastikan ianya menepati citarasa penonton.



"Apa yang pasti, kami senantiasa mencuba dan memperbaharui barisan program yang menjadi programsignature di Astro Warna," kata Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani. 

Antara peserta SS ialah Johan, Zizan, Tauke, Daphne Iking, Cat Farish, Zahid, Rahim R2, Riezman Khuzaimi, Ropi Cecupak, Yasmin Hani, Sathiya, Bell Ngasri dan peserta tunggal dari Singapura iaitu Suhaimi Yusof.

Tambah istimewa, kesemua peserta terbabit dibahagikan kepada dua kumpulan yang diberi nama Beruang Comel dan Angsa Ganas.

Menerusi kumpulan yang diwujudkan itu, dua pengurus atau pengatur strategi telah dilantik iaitu Rashid Salleh dan Reza Zainal.

Kumpulan Beruang Comel yang diuruskan Reza dianggotai Johan, Bell Ngasri, Yasmin Hani, Sathiya, Cat Farish, Ropie dan Sharul dari kumpulan Shiro.

Manakala Angsa Ganas yang dikepalai Rashid Salleh akan disertai oleh Zizan, Daphne Iking, Suhaimi Yusof, Riezman Khuzaimi, Zahid, Tauke dan Rahim R2.

Pembahagian peserta untuk kedua-dua kumpulan itu telah dibuat secara undian pada sesi boot camp yang telah dijalankan pada 8 Mac lalu.

Lebih menarik, Penerbit Eksekutif SS iaitu Afdlin Shauki bakal berganding bahu bersama Harun Salim Bachik untuk menjadi pengkritik tetap.

Selain kedua figura yang menamakan diri mereka sebagai kumpulan Boboi menjadi pengkritik, pelawak yang terkenal dengan tag line I'm Sorry, Amir turut sama dilantik sebagai pengkritik tetap.

Program yang dijangka mendapat perhatian menyeluruh dari masyarakat tempatan itu turut menyunting pelantun lagu Terlalu Istimewa, Adibah Noor sebagai hos.
Setiap minggu, SS bakal menampilkan tema permainan berbeza yang mana kebanyakan peserta tidak mengetahui tugasan yang perlu dilakukan pada minggu berkenaan.

Penjurian SS dibuat berpandukan SMS seratus peratus tetapi ia hanya untuk memilih kumpulan yang layak menang pada setiap minggu.

Penyingkiran peserta pula akan dibuat bersandarkan suara ramai ahli kumpulan.

Pertandingan ini menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 dan sebuah kereta Toyota Camry 2.0G.

Selain itu, kumpulan yang mendapat markah tertinggi berdasarkan persembahan mingguan akan memenangi RM5,000 untuk disalurkan kepada badan kebajikan yang akan diumumkan kemudian. 


Tiada ulasan:

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/