Rabu, 28 Mac 2012

Bilik 7 NTV7 Bikin Panas-Dedah Rahsia 13 Selebriti Hot

BILIK 7 – Bikin PANAS!  Pendedahan rahsia dan pengakuan selebriti penuh dramatik dan kejutan.
Bilik 7- Richie Rachman bersama Artis yang terlibat dalam rancangan terbaru NTV7 tersebut

Bilik 7 sebuah lagi rancangan penuh provokasi dan hangat diperkenalkan untuk mendedahkan rahsia terdalam selebriti serta menguraikan segala kontroversi yang melanda mereka. Rancangan sensasi Bilik 7 berformat ala temubual soal siasat pastinya bakal mengorek keluar segala rintihan dan sisi rahsia apa yang terbuku daripada diari tetamu selebriti. Rancangan yang dikendalikan di dalam Bahasa Malaysia ini bakal menemui penonton bermula 5 April, setiap hari Khamis jam 9.00 malam secara eksklusif di ntv7.


Menariknya lagi, set Bilik 7 direka menyerupai bilik soal siasat polis dengan sebuah meja yang mengasingkan suspek dan pihak penyiasat. Pastinya sesiapa sahaja yang melangkah masuk bakal terkesima seketika dan mula terasa sedikit terancam. Memainkan tugas sebagai penyiasat di dalam Bilik 7 adalah tidak lain dan tidak bukan, Richie Rachman.

Bilik 7-Episod Zarina Anjoulie
"Apa yang paling istimewa mengenai rancangan ini adalah kerana tiada lagi stesen TV lain yang pernah melakukannya sebelum ini dan mereka juga memberikan saya kebebasan untuk mengutarakan soalan kepada tetamu jemputan dan apa yang lebih menarik adalah saya dapat bertemu selebriti yang penuh kontroversi daripada pelbagai latar belakang,” kata Richie.


Richie juga memberitahu media bahawa turut sama dalam soal siasat nanti adalah rakan penerbitnya, Engku Azmin Engku Zaini yang berperanan sebagai ‘inspektor’ Bilik 7. Walaupun dipisahkan melalui cermin bilik soal siasat, Richie tetap mendapat arahan dari masa ke semasa daripada Azmin melalui alat dengar. “Saya pernah bekerjasama dengan Richie untuk beberapa projek sebelum ini dan kami sememangnya serasi dan pastinya dapat membentuk sebuah pasukan yang baik,” kata Azmin.

Bilik 7-Episod Azwan Ali  
Bilik 7 yang bakal bersiaran selama 13 episod ini membawa penonton berhadapan dengan artis tanahair yang penuh kontroversi antaranya Azwan Ali, Zarina Anjoulie, Radhi OAG, Lisdawati Nazarudin, Raja Azmi Raja Sulaiman, Pian Cecupak, Johan Asari, Melia Amelia, Mawi, Natasha Hudson, Ayu Damit dan Gambit Saifullah. 

Para selebriti bakal disoal siasat bertalu-talu dan adakalanya membuat mereka panas dan “tersentap” tatkala diajukan soalan-soalan sensasi yang bakal menggemparkan penonton. Walaupun Bilik 7 adalah sebuah rancangan yang lantang dan bakal menimbulkan kontroversi, namun ianya juga membuka ruang kepada pihak selebriti untuk menyelesaikan kekusutan dan berkongsi perkara sebenar mengenai kisah kontroversi yang menyelubungi diri mereka.

“Mungkin ada sesetengah daripada kita berpendapat bahawa rancangan ini mengetengahkan elemen negatif tetapi sebenarnya rancangan ini adalah sebaliknya. Bilik 7 adalah sebuah rancangan di mana selebriti yang dilanda kontroversi ini diberikan sebuah ruang untuk berkongsi pendapat dan perasaan mereka sendiri disamping memberikan penjelasan atau mengakui kesilapan silam mereka. Saya berharap penonton bakal menontonnya daripada sudut positif dan turut belajar melalui testimoni dan kisah mereka,” kata Richie.

 "Saya sangat memuji akan keberanian dan kesudian mereka dalam berhadapan dan bersoal siasat bersama saya. Saya tiada sebarang rungutan kerana mereka sememangnya memberikan 100% kerjasama,” tambahnya.

Nantikan ole-ole terbaru ntv7 dan jangan ketinggalan untuk merasakan debaran, drama, rintihan, bahan panas dan lebih lagi dalam rancangan Bilik 7 yang dihoskan oleh Richie Rachman yang bakal menyelongkar rahsia luar dalam selebriti tanahair yang penuh kontroversi setiap hari Khamis jam 9.00 malam secara eksklusif tentunya di Saluran Ceria Anda, ntv7.

1 ulasan:

maszull berkata...

assalamualaikum CT...wah bestnya ada segmen baru di NTV7...

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/