Sabtu, 3 Mac 2012

Eksklusif- Operasi Kapal Selam TLDM KD Tun Razak Di Majalah 3

PAPARAN laporan eksklusif bersama kupasan mendalam terhadap sesuatu topik nyata memberi tarikan kepada penonton menyaksikan Majalah 3. Apa yang mencuri perhatian, sambutan penonton diberikan cukup positif dan memberangsangkan menyebabkan lebih banyak paparan menarik dicari setiap minggu.


Dalam episod malam ini, 3 Mac 2012, Sabtu, pengacara popular Nurul Syuhada Nurul Ain kembali membawa cerita eksklusif dengan berkongsi pengalaman menarik menaiki kapal selam negara, KD Tun Razak, merentasi perairan Laut China Selatan.

Pengalaman berharga selama tiga hari ini diraih Nurul bersama kru Majalah 3 sewaktu diberi peluang berkunjung ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, pada pertengahan Januari lalu.

“Cerita kali ini cukup istimewa dan eksklusif kerana pertamanya, TV3 mendapat kebenaran mengadakan rakaman dalam kapal selam yang menjadi kebanggaan Malaysia dan keduanya, saya menjadi wanita pertama berlayar bersama kapal ini!

“Dalam siaran selama sejam ini, program ini akan menunjukkan kepada penonton kehebatan kapal selam negara yang menjadi aset dan saluran strategi penting dalam aspek pertahanan negara kita di bawah laut.

“Sambil menerokai kecanggihan kapal selam ini, penonton juga akan dapat mengetahui lebih lanjut bagaimana anggota tentera laut kita dilatih pihak tentera Perancis untuk mengendalikan kapal selam canggih ini.

“Apa yang menarik, tentera kita sebenarnya adalah pasukan elit yang ada banyak pengalaman dan cukup terlatih berdepan ancaman musuh. Mereka sentiasa bersedia mempertahankan negara tercinta,” katanya.

Ibarat pepatah, menyelam sambil minum air, Nurul rasa bertuah pengalaman ini turut menjadi catatan peribadi yang menarik buatnya profil dirinya.

“Ini adalah pengalaman manis yang tidak semua orang berpeluang merasainya dan saya sangat bertuah apabila dapat melihat sendiri segala kelengkapan kapal selam ini termasuk torpedo yang berada depan mata.

“Apa yang saya perhatikan, menjadi anggota tentera laut memerlukan semangat dan keberanian yang tinggi. Dalam paparan ini, penonton dapat menyaksikan kehidupan rutin dilalui anggota tentera laut.

“Walaupun fokus tertumpu pada KD Tun Razak iaitu kapal selam kedua negara tetapi kisah mengenai kapal selam pertama, KD Tunku Abdul Rahman juga kami berikan perhatian,” katanya.

Di sebalik laporan dan pendedahan umum ini, Nurul percaya fokus pada dua kapal selam negara ini memberi jawapan pada segala persoalan di kalangan masyarakat selama ini terhadap usaha kerajaan dan TLDM membuat pelaburan membeli aset berharga ini.

“Saya tidak berpeluang menaiki kapal selam KD Tunku Abdul Rahman kerana ia masih dalam proses penyelenggaraan. Namun saya tetapi gembira sepanjang menaiki KD Tun Abdul Razak yang memberi pengalaman baru yang sangat istimewa,” katanya turut diberi peluang mengenakan pakaian seragam anggota TLDM.

Bagi penonton setia TV3, jangan lepaskan peluang menyaksikan laporan eksklusif KD Tun Razak menerusi Majalah 3, jam 9 malam ini.

1 ulasan:

salihinrahim@gmail.com berkata...

Majalah 3 tadi memaparkan kisah kapal selam Malaysia
Tapi kenapa tak ditutup dengan lagu 'Samudra Raya'?
Kenapa perlu pakai lagu The Battle Hymn of the Republic?
Dia orang ni tahu tak chorus lagu tu???????
Hallelujah is a Hebrew word which means 'Glory to the Lord.

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/