Rabu, 7 Mac 2012

Fasha Sandha & Jejai Pakai Baju Pengantin-Doakan Kebahagian Kami

Sekian lama mengunci bicara, berhati-hati dalam memberi kenyataan dan lebih selesa meninggalkan pelbagai persoalan dengan tanda tanya, kini masanya sudah benar-benar tiba buat Fasha melangkah ke fasa terpenting dalam hidupnya. 


DIA sedang bahagia dan setiap saat adalah detik penuh kemanisan yang tidak terungkap. Biar dihimpit tanggungjawab yang banyak dan jadual kerja bagai tiada kesudahan, pemilik wajah jelita ini mengakui setiap apa tersurat dalam hidupnya ketika ini begitu bermakna dan diterima dengan gembira.


Teriak Fasha, 27, tatkala bertemu dengannya hujung minggu lalu, “I’m so happy dear!,” katanya mengukir senyuman panjang. 



Mengenali bintang filem Cicak-Man dan Berlari Ke Langit ini, tidak mudah untuknya membuka cerita soal peribadi. Meskipun diperdaya seribu helah bagi mendapatkan penjelasan, anak kelahiran Johor Bahru ini hanya selamba kekal dengan jawapannya, “no comment”.



Jelasnya, usah terburu-buru berkongsi kisah bahagia kerana bimbang ia hanya singgah untuk sementara.



“Bukan berahsia atau sengaja main tarik tali, namun saya enggan terus tersilap percaturan yang akhirnya mengundang kecewa kepada diri sendiri. Sebelum ini saya tidak pernah memberi sebarang kenyataan sebaliknya semua yang tersebar hanya satu spekulasi, bukannya daripada bibir saya,” katanya memulakan perbualan. 

Julung kalinya, bintang filem dan dramatis terkenal ini perlahan-lahan bercerita soal perasaannya yang kini menghitung hari menjelang detik bahagia menjadi permaisuri kepada lelaki idamannya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai, 36.


Adakah betul seperti dakwaan Fasha akan berkahwin pada April depan dan majlis bersejarah itu akan dilakukan di kota Jakarta, Indonesia?

“Saya bercinta dan itu adalah perkara yang tidak saya nafikan. Namun bercerita soal berkahwin dan perancangan ke arah itu, semuanya saya serahkan kepada Tuhan dan jodoh. 

“Jujurnya Jejai memang sudah pun datang bertemu keluarga saya untuk merisik. Saya sendiri sudah menerima lamarannya dengan hati yang terbuka. Inilah dikatakan takdir dan jodoh,” katanya. 

Gambar Jejai dan Fasha mengunjungi sebuah butik pengantin dan kemudian menghadiri kursus kahwin hujung minggu lalu di Mahligai Firdaus, Setiawangsa sudahpun tersebar luas di laman sesawang dan beberapa portal hiburan.

Tatkala kenyataan itu diajukan kepadanya, Fasha tersenyum mencerminkan rasa akurnya terhadap status selebriti yang ada padanya. 

“Memang benar saya dan Jejai ada ke butik bagi mengukur pakaian. Betul juga mengenai gambar kami berdua menghadiri kursus kahwin baru-baru ini. Memang seronok apabila pertama kali bertandang ke butik pengantin dan berbincang mengenai busana pilihan. Begitu juga dengan kursus kahwin yang kami berdua hadiri. Ia satu pengalaman baru buat saya dan memberikan saya perspektif baru dalam membina sebuah keluarga. 

“Alhamdulillah apa yang kami rancang berjalan dengan lancar. Itulah saya katakan usaha kami berdua untuk ke arah lebih baik dalam hubungan sedia ada. Insya-Allah kami lakukan perlahan-lahan mengikut masa yang sempat memandangkan kami berdua begitu sibuk dengan kerja masing-masing,” jelasnya lagi.



Teka-teki sebelum ini seperti gerak permainan catur yang tidak pernah sampai ke penghujung kini sudah kian terlerai.

Faktanya, Fasha memang sedang bahagia diulit rasa cinta dengan kekasihnya. Itulah lelaki yang sama sering kali dikaitkan dengannya.

“Alhamdulillah ranjau, dugaan dan seribu satu warna yang pernah singgah dalam hubungan kami tidak pernah berpanjangan. Biar pelbagai kisah dan versi pernah diceritakan, saya dan Jejai masih bersama dan itu saja yang mengundang rasa tenang buat saya selain kerja dan tanggungjawab harian yang begitu banyak.

“Jejai lelaki pilihan hati kerana sikap dan personaliti dirinya yang jelas menambat jiwanya untuk memilihnya sebagai pasangan hidup,” katanya.

Ditanya bilakah tarikh keramat yang akan memperlihatkan dirinya dirai di atas pelamin indah, Fasha yang terkenal dengan sikap mudah mesra hanya tersenyum dan meminta agar dirinya terus mendapat sokongan terutama keluarga dan peminat.

“Segala persiapan termasuk tarikh dan lokasi perkahwinan sudahpun ditetapkan pihak keluarga. Namun saya masih belum bersedia mengumumkannya kerana biarlah apabila sudah hampir dengan tarikhnya nanti. Saya harap peminat faham dan saya berjanji akan ceritakan segala-galanya apabila sudah sah nanti,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran Seindah Sakura.
Terkini! Fasha Sandha & Jejai Berkahwin Di Bali Pada 29 April 2012.

2 ulasan:

Joanna Yunus berkata...

No komen sbb x minat fasha :-)

AdeeyaMayeesa berkata...

@Joanna Yunussy pun sama .tak suke fasha.

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/