Khamis, 22 Mac 2012

Kronologi Penculikan Nazatul Fardiana Bagaimana Sampai Ke Bangkok

Kronologi kejadian penculikan Nazatul Fardiana Mohd Izwan, pada mulanya kes mangsa disiasat sebagai orang hilang selepas ibunya, Norazura Roski, 37, membuat laporan pada 31 Januari lalu. Berdasarkan laporan, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas dihantar ibunya di perhentian bas berdekatan rumah semasa mangsa ingin pergi ke rumah rakannya.

Bagaimanapun, pada 12 Mac, pukul 4.57 petang, ibunya menerima panggilan daripada mangsa yang menyatakan berada di pejabat Imigresen Thailand. Sebelum itu, dia dikatakan telah diculik sekumpulan lelaki menaiki van putih di sebuah restoran mamak di Seksyen 9 di sini.

Ibu mangsa kemudian membuat laporan pada pukul 8.40 malam di IPD Shah Alam pada hari sama dan selepas itu pihak Malaysia berurusan dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang mangsa dan berjaya mendapat perlepasan melalui jalan darat pada 17 Mac lalu.

Namun, ekoran campur tangan beberapa pihak, mangsa hanya dibenarkan pulang menggunakan penerbangan 19 Mac dan tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada pukul 9 malam.

Semalam, polis Selangor mengeluarkan kenyataan mengenai mangsa yang diselamatkan oleh Polis Thailand ketika melarikan diri daripada sekumpulan anggota sindiket pelacuran di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, minggu lalu.

Siasatan awal Polis Imigresen Thai menunjukkan remaja perempuan Malaysia berusia 15 tahun, Nazatul Fardiana Mohd Izwan, yang hilang bersama lima rakan Rohingyanya, menumpang kenderaan seorang lelaki yang tidak dikenali di Malaysia dekat sempadan Thai-Malaysia, sebelum memasuki negara jiran itu secara haram.

Timbalan Komander Pusat Siasatan Biro Imigresen Pol Col Chartchai Lamsaeng berkata hari ini, mereka menaiki sebuah van berdaftar di Malaysia yang ditawarkan oleh seorang lelaki Malaysia dekat sempadan pada 8 Mac.

Lima remaja Rohingya itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berumur antara 14 dan 16 tahun. Keenam-enam mereka adalah rakan dan mengenali satu sama lain.

"Mereka diberi minum oleh lelaki itu dan sejurus kemudian mereka tertidur," Chartchai yang mengetuai siasatan kes itu memberitahu Bernama, di sini.

Beliau berkata, apa yang dapat mereka ingat semasa perjalanan itu mereka melalui Hat Yai, Petchaburi atau Nakhon Phatom dan berhenti di Hua Lamphong di ibu negara ini.

"Kami hairan bagaimana mereka dapat melepasi pusat pemeriksaan di sempadan tanpa sebarang dokumen perjalanan," kata beliau dipetik Bernama.

Chartchai berkata, adalah tidak jelas sama ada remaja itu berhasrat memasuki Thailand bila mereka menumpang van berkenaan.

"Lelaki itu malah membawa mereka ke sebuah masjid di Hua Lamphong," kata beliau. Namun, tidak jelas apa berlaku pada lelaki itu selepas itu kerana kesemua remaja itu terus menuju ke Stesen Kereta Api Hua Lamphong," katanya.

Beliau berkata, mereka berjaya mendapatkan bantuan daripada beberapa orang peniaga dekat stesen itu yang memberi mereka wang oleh kerana mereka hendak membeli tiket kereta api untuk pulang ke Malaysia.

Mereka ditangkap oleh polis di stesen itu kerana mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah dan dibawa ke pejabat Polis Imigresen di sini, kata beliau.

Polis Imigresen kemudian menghubungi Kedutaan Malaysia di sini.

"Siasatan kami menunjukkan kesemua enam remaja itu selamat dan tidak diapa-apakan atau diganggu oleh lelaki berkenaan," kata beliau. 

Chartchai berkata Polis Imigresen Thai akan menyiasat kes itu di bawah undang-undang pemerdagangan manusia yang membawa hukuman penjara antara lima dan 10 tahun.

"Kami berjaya menghasilkan lakaran imej suspek berdasarkan maklumat diberikan oleh remaja itu. Polis Thai dan Malaysia sedang menyiasat kes ini," katanya.

Beliau berkata, Polis Imigresen Thai kini mengkaji kemungkinan yang sindiket jenayah antarabangsa terlibat dalam kes ini.

Chartchai hanya dapat mengenalpasti lima remaja itu sebagai orang Rohingya tetapi tidak pasti tentang kewarganegaraan mereka.

Laporan berita awal dari Malaysia menyatakan bahawa gadis itu memberitahu ibunya dalam percakapan telefon pada 12 Mac bahawa dia dan lima yang lain itu telah diculik dan dilarikan ke Thailand, dan kemudian diselamatkan oleh polis Thai di stesen keretapi berkenaan pada 11 Mac.

3 ulasan:

::CIK LYNN:: berkata...

tkotnya jd ank dara zman skrg ni...huhu

alhmdulillah...nasib baik la bdak ni smpat lari n xda pape...

Suzie berkata...

Rasa macam nak lepas anak-anak main kat luar pun takut

acan ketot berkata...

takut nye nak kuar da...

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/