Selasa, 27 Mac 2012

Skim Baru Bayaran Insentif Tayangan Filem-Kutipan Lebih RM6 Juta Tidak Layak

Filem tempatan yang diterbitkan selepas 2010 serta meraih kutipan tiket sehingga RM6 juta layak mendapat insentif di bawah Bayaran Insentif Tayangan Filem.

Skim baru itu diperkenalkan setelah mendapat persetujuan kabinet pada 23 Feb lepas bagi menggantikan skim pemulangan Duti Hiburan, yang dilihat tidak berkesan sejak 2000.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata skim baru itu akan menggunakan kaedah keuntungan jualan tiket penerbit filem dalam menentukan jumlah bayaran insentif.

"Penerbit filem perlu mengemukakan bukti jualan tiket atau doket kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk diteliti sebelum disahkan untuk pembayaran.

"Selepas diteliti dan jumlah jualan tiket yang dikemukakan adalah benar, barulah pembayaran dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Insentif Tayangan kepada penerbit 13 buah filem yang layak.

Filem-filem tersebut ialah Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Lagenda Budak Setan, Kapoww, Estet, 2 Alam, Aku Tak Bodoh, Janin, Aku Masih Dara, Damping Malam, Ice Kacang Puppy Love, Lelio Po Po, Whoohoo, Appalam dan Crayon.

Mengikut skim baru itu, filem cereka yang mendapat kutipan tiket sehingga RM2 juta akan diberikan bayaran insentif sebanyak RM200,000 manakala filem yang mendapat kutipan tiket melebihi RM2 juta hingga RM4 juta akan menerima bayaran sebanyak 10 peratus daripada kutipan.

Filem cereka yang mendapat kutipan melebihi RM4 juta hingga RM6 juta pula, akan dibayar insentif sebanyak lima peratus daripada jumlah kutipan tiket.

Filem cereka yang mendapat kutipan tiket melebihi RM6 juta pula tidak akan diberikan sebarang insentif.

Rais berkata skim pulangan Duti Hiburan terjejas kerana faktor situasi ekonomi, dan mulai 2000, kerajaan negeri yang terlibat dengan sistem berkenaan tidak menyalurkan bayaran balik duti hiburan.

Pemulangan Duti Hiburan kepada penerbit filem tempatan dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri mulai 1 Jan 1987 dengan pengecualian oleh kerajaan Kelantan, Terengganu dan Perlis kerana masing-masing tidak mempunyai pawagam.

Kerajaan Sabah pula tidak melunaskan skim tersebut kerana dasar negeri itu yang tidak mengenakan duti hiburan bagi filem-filem yang ditayangkan di Sabah.

Rais berkata filem yang diterbitkan sebelum 2010 tertakluk kepada sistem lama pembayaran.

Pada tahun 2010, sebanyak 29 buah filem diterbitkan dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM76.02 juta. Sebanyak RM12.83 Duti Hiburan telah dibayar kepada penerbit filem tempatan.  



Tiada ulasan: