Isnin, 19 Mac 2012

Tukang Gunting Ditetak, Tangan Dilarikan Penyerang

Seorang lelaki warga India putus tangan kiri selepas ditetak oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Seksyen U5, Panasuria, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa dikenali Murgesh, 40, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut didatangi sekumpulan tiga lelaki yang bertindak menetak sehingga putus pergelangan tangannya.
Mangsa yang mengalami kecederaan menggelupur kesakitan sebelum orang ramai yang berada dalam premis berkenaan menghubungi ambulans dan mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

Difahamkan, pergelangan tangan mangsa yang putus dibawa lari oleh suspek dan gerakan mencari yang dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) di sekitar lokasi kejadian sehingga jam 10 malam tadi belum ditemui.

Pemilik kedai makan yang dikenali Hasni berkata, beliau yang berada bersebelahan premis mangsa terkejut apabila seorang lelaki berlari ke arahnya meminta nombor telefon polis.

"Saya yang tergamam bertanya apa yang berlaku sebelum lelaki itu memaklumkan tangan kiri pekerja kedai gunting rambut putus ditetak tiga lelaki. 

“Saya terus bergegas melihat mangsa dan ketika itu dia menggelupur kesakitan sambil memegang tangan kiri dan memaklumkan dia ditetak dan suspek membawa lari tangannya yang putus,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes berkenaan tiada kaitan dengan samun.




Tiada ulasan: