Selasa, 17 April 2012

Benzoyl Peroxide Dalam Tepung Gandum

Penggunaan bahan kimia benzoyl peroxide dalam tepung gandum sebagai kondisioner makanan memang dibenarkan di negara ini tetapi tidak lebih daripada 50 miligram (mg)/kilogram (kg).

Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman berkata, kajian yang dijalankan Jawatankuasa Pakar mengenai Aditif (JECFA) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) ke atas benzoyl peroxide mendapati penggunaan bahan kimia itu dalam makanan tidak mendatangkan kemudaratan.

“Benzoyl peroxide bukan karsinogenik atau bahan yang boleh menyebabkan barah. Laporan JECFA menyatakan semasa pemerosesan makanan, hampir keseluruhan benzoyl peroxide akan ditukar kepada asid benzoik. “Pengambilan tepung gandum yang dirawat dengan benzoyl peroxide hampir menyerupai pengambilan makanan yang mengandungi asid benzoik iaitu sejenis bahan pengawet yang dibenarkan dalam pelbagai makanan di bawah Peraturan-peraturan Makanan (PPM) 1985. Ia juga tidak menyebabkan barah,” katanya.

Noraini berkata, berhubung penggunaan bahan kimia itu berisiko mendatangkan kencing manis dan arthritis, pihaknya tiada sebarang maklumat.

“Laporan JECFA menyatakan pengambilan benzoyl peroxide boleh menyebabkan jangkitan pada kulit tetapi ia bukan akibat pengambilan melalui makanan, sebaliknya kesan rawatan kulit,” katanya. Katanya, selain Malaysia, Singapura dan Jepun yang membenarkan penggunaan benzoyl peroxide dalam tepung gandum, Amerika Syarikat turut membenarkan penggunaannya dalam tepung dan keju manakala Kod Standard Pemakanan di Australia dan New Zealand membenarkan ia digunakan dalam semua makanan.

Noraini berkata, PPM 1985 membenarkan mana-mana tepung termasuk tepung gandum yang mengandungi benzoyl peroxide pada kadar tidak lebih daripada 50 miligram/kilogram sebagai kondisioner makanan yang dibenarkan.



1 ulasan:

maszull berkata...

assalamualaikum CT...wah mcm ni x boleh makan n gunakan tepung lagi kalau dah mcm ni....:)