Jumaat, 27 April 2012

Nabil Minta Nasihat Ustaz Don & Sudah Sediakan Nama Anak

Melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah kedua-dua pasangan itu, ternyata mereka begitu gembira dan teruja menerima kehadiran orang baharu dalam hidup selepas selama sebulan berusaha untuk mendapatkan anak. 


"Gembira sangat. Lebih gembira daripada dapat motosikal baharu!," luah Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 29, bila ditanya mengenai perasaannya bakal bergelar bapa.


Celah isterinya, Nazirah Ayub atau Zira, 24, pula: "Sebelum ini memang saya jatuh nombor dua jika dibandingkan dengan motosikal baharunya.


"Dia memang sangat teruja bila dapat tahu saya mengandung. Bayangkan bila beritahu dia saya mengandung, dia terus ajak saya beli kereta sorong bayi. Malah, setiap kali tengok Internet dia mesti tengok gambar-gambar bayi".

Nabil mengakui sanggup bertemu dengan Ustaz Don untuk mendapatkan petua memiliki anak memandangkan Ustaz yang popular menerusi rancangan 30 Minit Bersama Ustaz Don di TV AlHijrah itu hadir di stesen radio Suria FM sebagai penyampai jemputan.

Nabil yang juga merupakan penyampai radio untuk segmen Ceria Pagi bersama Halim Othman dan Kenchana Devi di Suria FM itu turut berusaha mencari petua mendapatkan anak melalui blog dan laman sesawang.

Akhirnya, Nabil dan isteri mengamalkan satu petua iaitu minum susu kambing dan buah kurma setiap hari. Kuasa Tuhan, selepas mengamalkan petua tersebut selama sebulan akhirnya Zira disahkan mengandung.

"Saya dapat tahu mengenai satu petua iaitu minum susu kambing yang dikisar dengan buah kurma terpilih dari Mekah. Sebelum mengisar buah kurma tersebut, saya dan Zira akan genggam dan berselawat Nabi terlebih dahulu.

Zira kini telah disahkan mengandung enam minggu dan doktor menjangkakan mereka bakal memperoleh anak sulung pada 18 Disember ini.

Bercerita mengenai persediaan menimang cahaya mata, menurut Zira, mereka belum membuat sebarang persiapan memandang kandungannya baru sahaja mencecah enam minggu.

Bakal menikmati bulan madu buat pertama kalinya selepas berkahwin pada 9 hingga 13 Mei ini, ujar Nabil, dia akan meminta pandangan doktor terlebih dulu memandangkan kandungan isterinya itu masih tidak begitu kuat.

Ditanya mengenai lokasi bulan madu mereka, tutur Nabil, buat masa ini ada dua lokasi menjadi pilihan iaitu Phuket dan Krabi, Thailand tetapi ia belum diputuskan lagi.

Ditebak dengan soalan panggilan apa yang bakal digunakan oleh anak kepada mereka kelak, ujar Zira, dia teringin menggunakan panggilan 'ibu' dan 'ayah' tetapi Nabil lebih suka anaknya memanggilnya 'daddy' dan Zira pula 'mummy'.

Pasangan itu juga mengakui ingin menamakan anak mereka Rayyan atau Adam jika jantina anak mereka lelaki dan jika sebaliknya nama Aliya dan Sofea pula menjadi pilihan.


2 ulasan:

maszull berkata...

assalamualaikum ct....seronoknya nak dpt baby...

nini berkata...

bestnya nak dapat babyyyy....=D

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/