Sabtu, 16 Jun 2012

Erra Fazira Jawab Isu Rumahtangganya Bersama Emran

Sejak kebelakangan ini kisah kemelut rumah tangganya bersama suaminya, Engku Emran Zainal Abidin yang dinikahi pada 25 Oktober 2007 tidak pernah surut.

Pelbagai spekulasi yang muncul. Ada yang mendakwa pasangan ini telah menghadiri sesi kaunseling, sudah tidak tinggal sebumbung dan juga suaminya sudah berkahwin lain.

Kebenarannya, hanya Erra dan Emran sahaja yang tahu. Akui Erra, dia agak rimas apabila kisah rumah tangganya menjadi tatapan umum dan pelbagai versi cerita sampai ke telinganya.

erra fazira pasrah
"Memang rimas sebab tidak habis-habis orang bercakap tentang rumah tangga saya. Saya ingin berpesan, kata-kata itu satu doa. Jadi janganlah bercakap yang bukan-bukan tentang perkahwinan saya.

"Kalau boleh cakap yang elok sahaja. Dalam dunia, semua orang mencari kebahagiaan, kedamaian dan ketenangan jiwa, sama juga seperti saya," ujarnya mohon pengertian.

Tidak menafikan dalam rumah tangganya terdapat masalah yang melanda, tegas Erra tanyalah mana-mana pasangan suami isteri, mereka juga menghadapi masalah yang sama.

"Saya tidak boleh tipu, biasalah dalam rumah tangga, ada masalah dan pasang surutnya. Jujurnya, saya tidak tahu sejauh mana spekulasi di luar sana bercakap tentang rumah tangga saya. Macam-macam yang saya dengar tetapi hakikatnya tidak pula seperti yang diperkatakan orang," ucapnya tenang.

Disoal mungkin kerana awal perkahwinan mereka kelihatan begitu romantis dan suaminya cukup rajin mengikut Erra ke acara hiburan, tetapi kini tidak lagi menyebabkan kontroversi rumah tangganya semakin melarat.

Erra mengangguk kepala tanda setuju dan membalas: "Ya, mungkin dulu dia selalu ikut saya, tetapi sekarang dia sudah berhenti teman saya.

"Sebagai isteri, saya tidak boleh paksa kerana saya hormati dia yang tidak berminat untuk masuk ke dunia hiburan. Saya juga jarang sekali menemani dia ke majlis yang melibatkan kerjayanya."

Apabila ditanya apakah reaksi Emran apabila kontroversi rumah tangganya berlegar-legar di media massa, jawab Erra: "Saya tidak boleh menjawab soalan itu bagi pihaknya, lebih baik tanya dia sendiri."

Baik keluarga Erra mahupun Emran, kata Erra keluarganya lebih tahu apa yang berlaku dan tidak perlu untuk dijelaskan kepada mereka.

"Saya tidak perlu beri penjelasan kepada mereka, keluarga saya tahu saya macam mana, begitu juga dengan keluarga Emran, mereka lebih kenal anak mereka," tuturnya.

Walaupun berjiwa kental dan mempunyai pengalaman selama 18 tahun sebagai anak seni, jiwa wanita Erra juga rapuh seperti wanita lain apabila kisah rumah tangga menjadi bahan bualan orang sekeliling.

Tertekan dengan kontroversi, Erra menyalurkan tekanan itu dengan menyibukkan diri dengan kerja.

erra fazira bersama anaknya tengku aleesya
 "Saya melepaskan tekanan dengan menyibukkan diri terhadap kerja serta fokus untuk anak saya, Engku Aleesya yang kini berusia tiga tahun," katanya.

Bimbang anaknya akan menerima kesan daripada kontroversi yang melanda, tegas Erra dia sedaya upaya mahu mengembangkan minda Aleesya agar tidak mendapat tekanan.

"Saya akan membuat dia sentiasa gembira, saya tidak mahu perkara yang diluar kawalan saya memberi tekanan kepadanya," getus Erra.

Sedar dirinya seorang selebriti, pintanya bukan semua perkara boleh dikongsi bersama orang ramai."Saya harap orang ramai dapat memahami keadaan saya kerana setiap kata-kata ada batasnya. Sebagai seorang isteri dan ibu, saya tidak boleh terlalu terbuka untuk bercakap soal rumah tangga sendiri," katanya minta difahami.


4 ulasan:

RazFiRa berkata...

tanyelah engku Emran plak kan.. asek tanye erra jer

Azhafizah Md Nor berkata...

kisah rumahtangga artis orang selalu amek perhatian kan.doakan yang terbaik buat mereka.

Farah Shamsudin berkata...

erm.. kesian erra.. biasela.. dah nama retis kan.. sumenya pn menjadi perhatian umum.

maszull berkata...

assalamualaikum CT...kita doakan yg terbaik jer utk mereka...:)

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/