Sabtu, 9 Jun 2012

Gegaran Luar Biasa Di Ipoh Cetus Tanda Tanya

Gegaran yang berlaku selama beberapa minit yang menimbulkan panik kepada penduduk sekitar bandar raya Ipoh dan Gunung Rapat pagi kelmarin terus menjadi tanda tanya kerana sehingga kini punca kejadian sebenar masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai kejadian itu dan masih belum dapat mengenal pasti puncanya.

Beliau berkata, siasatan masih dilakukan termasuk dakwaan beberapa penduduk sekitar Jalan Kampar kemungkinan berpunca daripada penggunaan bahan letupan oleh sebuah syarikat ketika melakukan kerja pembinaan sebuah bangunan di situ.

“Polis masih menyiasat dakwaan penduduk di Jalan Kampar terbabit yang mendakwa rumah mereka turut mengalami kesan keretakan dan gegaran akibat kesan letupan itu.

“Setakat ini, tiada pihak yang tampil mengesahkan punca gegaran itu dan kuari paling hampir ialah di Simpang Pulai tetapi siasatan mendapati tiada aktiviti menggunakan bahan letupan dilakukan pada masa kejadian.

“Polis menerima beberapa laporan termasuk aduan penduduk menerusi telefon mengenai gegaran itu dan saya sudah mengarahkan pegawai dan anggota menyiasat lebih lanjut puncanya,” katanya, di sini, semalam. 

Kelmarin, beberapa penduduk di sekitar bandar raya ini dan kawasan Gunung Rapat termasuk di Politeknik Ungku Omar (PUO) panik apabila merasa gegaran luar biasa sehingga mengakibatkan premis masing-masing seakan bergoyang beberapa minit pagi kelmarin.

Dalam kejadian bermula jam 11.15 pagi itu, penduduk termasuk kakitangan dan pelajar PUO merasai gegaran sehingga menyebabkan tingkap pejabat serta perabot dalam premis pejabat bergetar hampir lima minit.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Muhammad Zubir Mohd Hanifah, ketika ditemui pemberita kelmarin memberitahu beliau sedang menghadiri mesyuarat bersama sembilan kakitangannya apabila secara tiba-tiba terasa bangunan seperti bergegar menyebabkan tingkap dan meja turut bergetar.

Stesen Meteorologi Ipoh yang dihubungi memaklumkan tidak menerima sebarang laporan membabitkan gempa bumi manakala jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak pula berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada orang ramai mengenai kejadian itu tetapi tidak dapat mengenal pasti punca kejadian.

2 ulasan:

kak mah berkata...

Bahayalah...kasihan kalau baby terdengar pasti terkejut.

SP (spudinpunya) berkata...

tak ada gegaran gempa bumi dilaporkan..tapi kenapa gegar ?

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/