Jumaat, 8 Jun 2012

Oh My English! Cara Belajar Sambil Berhibur

BARU sahaja ditayangkan di saluran Astro TVIQ, rancangan komedi pendidikan, Oh My English! terus mendapat tempat di hati peminat apabila berjaya meraih 50,000 peminat di laman sosial Facebook.

Menurut Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, program Oh My English! yang mengambil pendekatan unik dalam pembelajaran bahasa Inggeris itu juga berjaya mendapat lebih daripada 900,000 tontonan di YouTube serta menjadi topik hangat yang kerap diperkatakan di Twitter.

“Oh My English! bukan sahaja dapat menghiburkan penonton tetapi dalam masa yang sama mengajar pertuturan bahasa Inggeris dengan betul.

Program Oh My English di Astro
“Setiap episod sitkom selama setengah jam itu mempunyai tema perbualan yang boleh digunapakai dalam kehidupan seharian seperti pengenalan, sukan, muzik dan makanan. Malah, episod-episod tersebut juga mengandungi tiga kapsul pendek yang menerangkan penggunaan bahasa Inggeris dengan betul sama ada dari segi tata bahasa, perbendaharaan kata, struktur ayat mahupun sebutan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pelancaran program Oh My English! di Hotel Hilton, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi merealisasikan program tersebut, ujar Putri, pihaknya telah bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk menggalakkan pembelajaran berterusan sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat.

“Pelancaran Oh My English! ini menandakan Astro terus menyokong usaha Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM),” tuturnya.

Sebagai tambahan, kata Putri lagi, Astro juga telah bekerjasama dengan British Council dalam membangunkan kandungan pembelajaran bahasa Inggeris termasuk bahan-bahan dan kertas latih tubi lengkap yang boleh didapati di laman web Oh My English!

“Oh My English! juga akan dilengkapi pengalaman pembelajaran multimedia melalui internet, butang merah interaktif pada alat kawalan Astro, laman sosial, radio, siri bengkel di sekolah dan dalam cetakan,” jelasnya lagi.

Oh My English! mengisahkan pelajar-pelajar daripada Kelas 3 Merah di sebuah sekolah bernama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Dalam, Kuala Lumpur, yang terkenal dengan kenakalan mereka serta rekod pencapaian akademik yang kurang memuaskan terutamanya pelajaran Bahasa Inggeris.

Ketibaan seorang guru baharu daripada United Kingdom bernama Henry Middleton (lakonan Zain Saidin) di sekolah itu berjaya mengubah kedudukan pelajar-pelajar yang lemah dalam mata pelajaran bahasa Inggeris itu.
Lisa Surihani dalam Oh My English!
Selain Zain, Oh My English! menampilkan barisan pelakon hebat seperti Adibah Noor, Harun Salim Bachik, Mr. Os, Izara Aishah, Addy Ashraf serta tiga selebriti jemputan terkenal iaitu Lisa Surihani, Rozita Che Wan dan Nabil Raja Lawak.

Sementara itu, menurut Lisa Surihani, dia teruja kerana diundang menjayakan rancangan Oh My English!

Baginya, konsep belajar sambil berhibur sangat efektif kepada pelajar sekolah.

“Saya pernah belajar dan juga mengajar, Oh My English! membantu kita mengenal pasti dan memperbetulkan kesalahan-kesalahan kecil yang kita tidak sedar,” ujarnya.

Bagi Harun Salim Bachik pula, program Oh My English! merupakan program yang bagus untuk pelajar kerana sambil berhibur mereka memperoleh pengetahuan.

Harun yang membawakan watak guru disiplin dalam Oh My English! itu juga memberitahu, dia juga berpeluang mempelajari bahasa Inggeris dan mempraktikkannya kepada anak-anaknya.

“Saya mempunyai enam orang anak yang berumur dari sembilan tahun hingga 28 tahun. Program sebegini bagus untuk mereka mempraktikkan bahasa Inggeris dengan betul,” tuturnya.

Bagi seorang lagi pelakon Oh My English! iaitu Adibah Noor, dia mengakui seronok membawakan watak guru bahasa Inggeris bernama Hajar kerana dapat melepaskan rindu terhadap kerjaya yang pernah dilaluinya dahulu.

“Saya rindu saat-saat menjadi guru bahasa Inggeris dahulu. Jadi, apabila ditawarkan berlakon dalam rancangan ini saya terus setuju,” ujarnya yang berjaya mengubat rindunya untuk mempraktikkan kemahiran mengajar yang telah ditinggalkannya sejak 17 tahun lalu.

Tambahnya lagi, selain menekankan penggunaan bahasa Inggeris dengan betul, banyak elemen lain lagi turut diterapkan dalam Oh My English! supaya ia menggambarkan situasi sebenar di sekolah.

Jangan ketinggalan menonton Oh My English! pada setiap hari Ahad pukul 10 pagi di Astro TVIQ (saluran 610). Anda juga boleh melayari laman rasmi Oh My English! di www.ohmyenglish.com.my untuk maklumat lanjut mengenai rancangan ini.


Tiada ulasan: