Khamis, 5 Julai 2012

Blogger Rotikaya Minta Maaf Dengan Wan Shades Dalam Program Awal Lagi TV9

Rezeki Awal Ashaari dikatakan semakin laris setelah bergelar suami. Terbaru, Awal diberi tanggungjawab untuk menjadi pengacara program ‘Awal Lagi’ yang bakal disiarkan di TV9.
‘Awal Lagi’, program bual bicara hiburan sensasi, hangat dan berinformasi ini dirakam di tempat terbuka Starbucks Suria KLCC. Rakaman ini diadakan di tempat terbuka untuk memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan sendiri bagaimana program ini dikendalikan. Pada masa sama, mereka juga dapat bergambar dengan artis jemputan sebagai kenangan. Artis sememangnya tidak dapat lari dari isu-isu hangat dan itulah yang akan dibincangkan secara mendalam bersama artis jemputan mingguan kelak. Bukan mencari publisiti atau melagakan antara artis, tetapi program ‘Awal Lagi’ ingin mendengar sendiri luahan dan cara bagaimana untuk menghindarkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku untuk mengelak sebarang spekulasi di kalangan peminat mereka.

Di sinilah, Awal Ashaari ingin mencari punca kepada sesuatu kes yang terjadi dan ianya datang sendiri daripada mulut selebriti secara telus dan ikhlas tanpa menyelindungi sebarang maklumat.

Awal tidak keseorangan kerana akan ditemani pelakon Tauke atau nama sebenar, Zamatul Amri Zakaria yang tampil sebagai “standup comedian” di dalam program ini. Topik hangat sahaja tidak memberi impak yang besar. Oleh itu, penerbit turut memberi peluang kepada selebriti jemputan untuk berkongsi pendapat serta pandangan masing-masing serta meluahkan isi hati mereka mengenai topik yang dipilih. Yang menariknya, mereka juga berkesempatan untuk mempromosikan diri sendiri selama 30 saat pada akhir rancangan ini.

Antara topik yang akan dibincangkan dalam ‘Awal Lagi’ ini ialah ‘Artis dan Kelab Malam’ bersama Dira Abu Zahar dan Nabila Huda. Untuk episod kedua, penerbit mengundang Hamza (Roti Kaya) dan Zed Zaidi membincangkan topik ‘Blog dan Artis’. Ketika sedang rancak berbual tentang topik ini, tiba-tiba Wan Shades muncul membuat kejutan. Di sini, Wan Shades bersemuka dengan Hamza untuk mendapat penjelasan mengenai artikel yang penuh kontroversi yang pernah disiarkan di blog Roti Kaya mengenai dirinya. Untuk mengetahui lebih lanjut, jangan lupa bersama kami pada 14 Julai, Sabtu, jam 8.30 malam kelak.

Kehangatan ‘Awal Lagi’ tidak berhenti di situ sahaja apabila topik ‘Populariti’ dimuatkan dalam episod ketiga dengan menampilkan selebriti popular, Maya Karin, Ahmad Idham dan Linda Onn menceritakan ‘Populariti’ yang menyelubungi hidup mereka mahupun artis terkenal lain. Episod keempat, topik paling menarik, ‘Cantik?’ pastinya ditunggu-tunggu semua kerana Awal Lagi berjaya membawa Miss Malaysia-World 1992 Erra Fazira, Anzalna Nasir dan Khir Rahman mengupas topik ini. Selain daripada topik sensasi di atas, Awal Lagi akan terus menghangatkan penonton setianya dengan topik seperti ‘Belanja Mewah’, ‘Terlalu Terbuka’ dan ‘Pasanganku Kacak’.

Pihak kru penerbitan juga turut memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi cadangan topik hangat yang ingin dibincangkan di dalam ‘Awal Lagi’. Untuk itu, mereka boleh email terus kepada penerbit, Mohd Zamzuri Mohd Zaini di zamzuri@primeworks.com.my. Berminat untuk menjadi tetamu ‘Awal Lagi’…jom sama-sama saksikan rakaman ‘Awal Lagi’ Sabtu ini, jam 8.30 malam di Starbucks Suria KLCC. Jangan lupa pula siarannya setiap Sabtu, jam 8.30 malam mulai 7 Julai hanya menerusi saluran 119.

Tiada ulasan: