Bertahun lamanya dia menjawab dan menepis persoalan mengenai bilakah dia akan menjadi isteri orang. Namun tanpa gosip yang heboh seperti artis lain, tiba-tiba dengan satu kejutan, baru-baru ini, Ella, 46, akui dia akhirnya sudah bertemu putera hatinya, malah akan mendirikan rumah tangga dalam waktu terdekat.
Azhar Ghazali jejaka A bakal suami penyanyi Ella |
“I am sooooo.... happy and I really love this feeling!” jerit kecil penyanyi lagu Sembilu dan Dua Insan Bercinta ini.
Mana tidaknya, Ella akan menamatkan zaman solonya bersama seorang jejaka, Azhar Ghazali yang sebenarnya sudah sembilan tahun mencuri hatinya. Lelaki berusia 30-an yang berasal dari Muar, Johor itu ber tugas sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Pasangan ini dijadual bernikah malam esok (Sabtu) 7 Julai 2012 selepas Isyak dalam satu majlis sederhana di kediaman keluarga Ella di Klang, Selangor.
Hanya mengundang ahli keluarga terdekat, sanak-saudara serta sahabat karib kedua-dua belah pihak, Ella lebih inginkan unsur kesederhanaan untuk majlis pernikahannya itu.
Penyanyi kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini akan mengenakan busana berwarna putih sentuhan pereka fesyen terkenal, Syaiful Bahrim. Abang kandungnya, Mohd Norizam Aminuddin sendiri akan menjadi wali kepada Ella.
“Semuanya sederhana dan memang kami berdua sepakat untuk melaksanakan mana yang wajib dulu. Majlis persandingan pula akan kami lakukan pada 1 Disember nanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya.
“Saya sebenarnya sangat menghormati permintaan keluarga bakal suami saya yang tidak mahu majlis ini menjadi terlalu gah memandangkan mereka memang orangnya bersederhana.
“Terus terang saya sangat bersyukur dengan ketentuan takdir yang tersurat buat diri saya tapi saya tak nafikan saya begitu gementar menempuh saat menjadi seorang isteri.
“Alhamdulillah saya dikelilingi mereka yang begitu menyayangi saya terutama Azhar yang begitu memahami dan tidak henti menyokong karier saya selama ini. Saya gembira kerana kami akhirnya sampai ke satu fasa penting dalam hidup kami.
“Azhar sebenarnya memberikan perspektif yang berbeza dalam hidup saya. Dia bukan sekadar menghormati saya dan keluarga saya. Sepanjang mengenalinya, sejak sembilan tahun lalu dan seterusnya menjadi lebih akrab sejak tiga tahun kebelakangan ini, saya boleh sifatkan Azhar sebagai lelaki yang sangat matang.
“Saya yakin dan percaya yang Azhar mampu membimbing saya dalam perkahwinan ini, insya-Allah,” ujar Ella.
Azhar dan keluarganya datang merisik Ella pada 17 Jun lalu sebelum mereka bersetuju menetapkan tarikh pernikahan itu. Pada hari perkahwinan, mempelai perempuan akan menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki.
“Saya bersyukur dan tentunya sangat gembira kerana akhirnya kami akan disatukan. Ella sangat istimewa buat diri saya. Apa yang penting, saya selalu berdoa agar kebahagiaan kami akan berkekalan sampai ke akhir hayat,” katanya.
Gambar pra perkahwinan Ella dan Azhar |
2 ulasan:
Alhamdulillah akhirnya....itulah yg dikatakan jodoh
assalamualaikum ct...alhamdullilah bertemu jodoh juga akhirnya...;)
Catat Ulasan