Selasa, 21 Ogos 2012

Drama Bersiri Adam Dan Hawa Bakal Jadi Fenomena Baru

TINGGAL beberapa hari lagi, kisah yang akan meruntun perasaan peminat drama tanah air, Adam Dan Hawa akan mula ke udara, jam 10 malam di Astro Mustika.

Mempertaruhkan gandingan pelakon pujaan ramai, Aaron Aziz bersama pelakon serba boleh, Nadiya Nissa, drama bersiri 80 episod itu diyakini bakal mencetuskan satu fenomena baru.

Ramai sudah melihat persembahan hebat Aaron dalam naskhah yang mencipta fenomena seperti filem Ombak Rindu serta drama Nora Elena dan Stanza Cinta. Bergandingan pertama kali dengan Nadiya, pastinya penonton tidak sabar menantikan bagaimana keserasian dua pemenang anugerah lakonan ini.

Menyorot pencapaian Nadiya dalam arena lakonan sehingga kini, rasanya jika wujud keserasian yang kuat antara mereka berdua, dia tentu tiada masalah menyalurkan lakonan hebat. Pernah menjadi bualan kerana lakon berkesan dalam filem Cun!, Nadiya juga berjaya menggondol dua anugerah iaitu Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Aktres Harapan Terbaik pada Anugerah Skrin 2011 serta Festival Filem Malaysia Ke-24.

Adam Dan Hawa yang diadaptasikan daripada sebuah cerita novel menggunakan tajuk sama terbitan Alaf 21, mengisahkan seorang juruterbang Adam Muhkriz dan seorang gadis, Ain diijabkabulkan selepas mereka ditangkap khalwat.

Ia berpunca daripada salah faham menyebabkan mereka terjerat padahal perkara itu sebenarnya hanyalah satu perangkap. Disebabkan hatinya keras dan marah dengan insiden yang berlaku, Hawa lari meninggalkan Adam.

Selepas itu mereka tidak lagi berjumpa dan dalam tempoh ‘perpisahan’ itu macam-macam perkara terjadi sehinggalah mereka berdua bertemu semula di Tanah Suci Makkah selepas lapan tahun kemudian.

Drama hebat ini terbitan Global Station Sdn Bhd dan diarahkan Mohd Feroz Kadir. Ia turut dibintangi Anzalna dan Dazrin Kamarudin.penggambarannya dilakukan di Perth, London, Makkah dan Madinah.

Sebelum ini Global Station yang diterajui Datin Zaiton Muhd Jiwa terkenal dengan drama popular seperti Spa Q, Dilema Wanita, Mengejar Pelangi serta Dejavu Di Kinabalu.

Penuh permainan emosi dan konflik, ia juga antara drama bersiri terpanjang pernah dihasilkan di Malaysia. Apa yang jelas, konflik yang ditonjolkan pastinya mengikat penonton dari satu episod ke satu episod.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Adam dan Hawa bermula 27 Ogos 2012, Isnin - Khamis pukul 10.00 malam di Astro Mustika.


Tiada ulasan: