Rabu, 19 September 2012

Biodata Emma Maembong @ Fatimah Rohani

Emma Maembong mula menceburi bidang seni dengan lebih serius bermula Jun lalu. Katanya, ramai yang tidak menyangka nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail.

"Kalau orang yang rapat dengan saya biasanya menyapa saya Timah, yang baru kenal panggil saya Emma. Nama Emma itu singkatan Timah kalau disebut banyak kali dan laju-laju.

"Maembong pula gabungan nama ayah saya, Ismail dan datuk saya Embong. Itu nama pena dia sepanjang berkarya sebagai pelukis negara," sesi pengenalan itu diteruskan ketika jurusolek Mimie Romyza mula mengoles wajah mulus gadis kacukan Melayu dan Scotland itu.

Bakat luar biasa menggalas peranan gadis dianiaya ibu dan abang kandung sendiri dalam mencari sinar kebahagiaan dalam drama rantaian arahan Erma Fatima, Kau Yang Terindah secara jujurnya mencuri tumpuan ramai pihak.
Emma Maembong
Biar bukan melakonkan watak utama, hakikat yang harus diakui, dia antara pucuk muda yang perlu diberi perhatian.

Pujian buat pelakon baharu yang tidak pernah menuntut ilmu daripada mana-mana institut khas seni lakon.

"Barangkali darah seni itu mengalir sendiri daripada ayah saya yang gemar melukis dan minat luar biasa menonton wayang.

"Apabila mula berlakon saya berasa diri saya terpisah dengan kecenderungan saya yang gemar melukis. Saya pernah beritahu ayah saya bahawa saya mahu jadi pelukis," ungkapnya.

Membuka lembaran awal kisah hidupnya sebagai anak seni, kata Emma kerjayanya berlangsung dengan pantas.

"Saya mahu menjadi pramugari dan meminta pertolongan kakak saya (Yaya Maembong) untuk mencarikan kerja kosong.

"Kebetulan ketika itu kakak saya yang bekerja di belakang tabir diberitahu mengenai kekosongan watak untuk drama terbaharu Erma Fatima. Saya pun mencuba nasib.

"Seminggu kemudian kak Erma mengajak saya bertemu dan minta saya membaca satu skrip. Selepas tiga hari, dia menawarkan watak Munirah dalam drama Kau Yang Terindah," katanya sebelum memulakan sesi fotografi di studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin baru-baru ini.

Peluang diberikan watak yang memerlukan dia sentiasa bersedih itu umpama rezeki yang datang bergolek. Tidak pernah terduga namun dalam masa sama melihat haluan itu sebagai medan menguji kemampuan diri.

Kata Emma: "Itu satu cabaran menguji kemampuan diri, sekiranya ada yang memuji Alhamdulillah, kalau ada yang mengeji saya ambil komen itu sebagai panduan."

Sebelum drama Kau Yang Terindah, Emma pernah membintangi sebuah drama terbitan Amazon Entertainment Sdn. Bhd. berjudul, Facebook Ustazah Shamsiah.

Jadual Emma kembali padat sekembalinya ke set penggambaran drama bersiri 24 episod Rindu Rania bergandingan dengan Zack X-Factor, Elly Mazlein dan Erry Putra. Kali ini Emma diberi kepercayaan menggalas peranan utama iaitu sebagai Rania.

Bakat sahaja tidak cukup, nyata sekali industri kini meneliti rupa paras sebagai sandaran untuk pergi jauh. Hal itu diakui oleh Emma namun dalam erti kata lain karier sukses harus seimbang bakat dan rupa.

"Saya tidak pernah meletakkan rupa atau asal-usul saya sebagai penanda aras malah kalau setakat ada rupa tapi otak kosong pun tak berguna. Rupa itu ekstra, yang perdana itu bakat serta ilmu," tegasnya.

Pernah ketika awal pembabitannya ketika dia dicerca dan ditohmah dengan kutukan tentang mutu lakonan hambar, selain isu berpakaian seksi dalam akaun instagram, dia menangis.

Namun tangisan itu sebenarnya penghapus segala kepedihan kata caci dan cubaan mereka sensasi. Ujar anak kesembilan daripada sebelas beradik itu, dia kini lebih kental.

"Terima saja herdikan dan kritikan orang. Sedih itu ada tapi berilah saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya.

"Saya hargai semua pandangan orang sekeliling dan menilainya sebagai satu nasihat untuk jadi lebih bagus.

"Pernah saya dicemuh kerana berpakaian seksi dan ramai menyifatkan saya gadis yang sosial. Ya, saya akui saya pernah terkena kejutan budaya ketika usia 16 tahun tapi semua gambar seksi yang dimaksudkan itu adalah gambar-gambar lama. Saya juga tidak pernah ke kelab kerana saya antitempat ramai orang.

"Saya minta maaf jika ada pihak yang kurang senang dan tersinggung dan mohon agar tidak dibangkitkan sejarah silam," pinta Emma merendah diri.

Emma menjelaskan dia tidak mahu dilabel seorang gadis liar yang gemar berpakaian seksi kerana hakikat sebenar dia anak manja ayahnya.

"Selepas ibu dan ayah saya bercerai, saya tinggal dengan ayah dan tidak pernah berjauhan dengan dia. Saya akui saya anak kesayangan dia dan dia segalanya bagi saya.

"Sejak tingkatan satu saya diberi homeschool (belajar di rumah) dan tidak akan berenggang daripada ayah sampai sekarang," jelasnya.

3 ulasan:

Kak Mahh berkata...

Cantik..pelakon ni manis,lembut.

Tanpa Nama berkata...

laju jep bila dengar emma .. he he

a.R berkata...

mane biodata dia?