Begitulah semangat dimiliki pelakon terkenal, Norish Karman. Biarpun, penyakit ‘L5 S1 Caudal Epidural Injection’ iaitu kekoyakan di bahagian ‘spine disc’ dan tisu amat menyakitkan hingga menyebabkan bintang Sayang Salmah itu terpaksa berkerusi roda, namun dia tidak mahu menjadikan penderitaannya itu sebagai alasan untuk tidak ke lokasi. Ini sekali gus membuktikan bahawa dia begitu komited terhadap tugasnya sebagai pelakon.
Walaupun keadaannya berkerusi roda dan perlu dibantu ketika berdiri, tiada siapapun akan menyangka dia masih mampu menggagahkan diri ke lokasi penggambaran, sekali gus menyiapkan baki babak drama bersiri Julia yang hangat dipertontonkan di TV3 ketika ini.
“Pihak produksi faham keadaan saya tapi atas dasar tanggungjawab saya tetap datang ke lokasi kerana hampir setiap episod yang ditayangkan ada babak membabitkan saya sebagai Zainab dalam drama itu. Kalau saya tidak ke lokasi menyiapkan babak saya, ia boleh menyebabkan jalan cerita tergantung.
“Saya ditahan di wad Isnin lalu, bagaimanapun keesokan hari, saya meminta keizinan doktor untuk ke set penggambaran dan menjelaskan kepada doktor seandainya saya tidak pergi akan timbul masalah pada pihak produksi termasuklah kesinambungan jalan cerita drama itu.