Khamis, 4 Ogos 2011

Akibat Golden Churn Creamy Butter mengandungi DNA babi, ramai pelanggan batal tempahan Kek Lapis Sarawak


Pengusaha perlu samak peralatan sebelum buat kek baru

KUCHING: Pengusaha kek lapis Sarawak yang menggunakan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter yang disahkan mengandungi DNA babi, disaran memusnahkan stok mereka dan menyamak semua peralatan dan kelengkapan memasak sebelum menghasilkan semula kek berkenaan untuk dipasarkan.

Mereka perlu berbuat demikian bagi mengelak menanggung dosa selepas mengetahui produk yang dihasilkan tidak halal dimakan.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman, berkata berdasarkan hukum Islam, menyamak adalah wajib kepada lebih 400 pengusaha kek lapis di Sarawak kerana mentega jenama berkenaan antara yang popular serta paling banyak digunakan bagi menghasilkan kek lapis yang tahan lama serta mampu disimpan sehingga enam bulan.

“Kita dimaklumkan memang ada pengusaha menyediakan stok bernilai jutaan ringgit sejak tiga atau empat bulan lalu, namun apa boleh buat. Ini adalah hukum dan mereka bersalah jika terus menjual kek lapis mengandungi DNA babi. 

“Bagi pengusaha yang mempunyai banyak simpanan mentega jenama itu, mereka boleh merujuk Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan bagi maklumat lanjut dan pada masa sama menukar mentega kepada jenama yang disahkan halal,” katanya.

Katanya, keputusan makmal oleh MIS tidak perlu dipertikaikan kerana ia dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia (JKM) Sarawak menggunakan sampel mentega yang diperoleh secara meluas di pasaran tempatan.

Persatuan akui ramai batal tempahan
KUCHING: Presiden Persatuan Pengusaha Kek Lapis Sarawak (PPKLS), Rabiah Amit memberi jaminan orang ramai tidak perlu bimbang status halal kek lapis Sarawak kerana semua 70 ahlinya sudah menghentikan penggunaan mentega jenama Golden Churn Creamy Butter dan bertukar kepada jenama lain.

Rabiah bagaimanapun mengakui ramai pelanggan menghentikan tempahan sementara selepas isu itu dihebahkan menerusi media.

“Kami ingin menjelaskan bahawa kek lapis di Sarawak halal kerana tidak menggunakan produk itu sejak setahun lalu. Pengguna yang ragu-ragu boleh meneliti sijil halal kami yang dikeluar JAIS,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sementara itu, isu itu dijangka tidak memberikan impak besar kepada industri kek lapis Sarawak kerana tempahan yang diterima pengusaha terus meningkat menjelang Aidilfitri. Namun, ada pengusaha terpaksa membatalkan tempahan luar negara kerana bimbang ia menjejaskan jualan selepas terpaksa menanggung kos pengedaran yang tinggi. 


Pemilik Kedai Kek Di Wannie, Zoraidah Leen, berkata beliau kerugian sekurang-kurangnya RM30,000 selepas membatalkan penghantaran kek lapis ke Brunei dan Singapura walaupun sudah menerima banyak permintaan daripada pelanggan tetap di negara berkenaan.
“Kerugian boleh ditampung dengan permintaan dalam negara yang stabil kerana saya memang sudah lama tidak menggunakan mentega itu,” katanya. 

Sementara itu, pengedar kek lapis Sarawak di Semenanjung, Azman Hezri, berkata isu mentega tidak menjejaskan tempahan penggemar di Semenanjung.

Malah, beliau terpaksa menghentikan tempahan sebelum Ramadan kerana bimbang tidak dapat menghantar bekalan akibat tempahan terlalu banyak.

“Isu Golden Churn nampaknya tidak menjejaskan minat orang ramai di Semenanjung. Walaupun ada yang kata macam-macam mengenai mentega itu, masih ramai membuat tempahan sehingga saya bimbang tidak mampu menghantarnya sebelum raya,” katanya.

10 ulasan:

diana berkata...

kandungan kat tin produk sepatutnya lebih jelas..
setakat tulis kode2 je tak ramai yang paham..sudahnya orang keliru..

Tea Dno berkata...

kalau orang yang dah penah termakan camne?skang ni dah susah nak makan.memanjang je ada yang tak halalnya.hmm.

Suzie berkata...

Sedap kek ni tapi semoga diampunkan

uLan berkata...

kesian peniaga kek lapis besar besaran ni.. akibat kecuaian pihak pengeluar mentega,peniaga kek lapis menjadi mangsa...

FaKArePa!n berkata...

hbis semua bnda nak ada DNA babi..

ct N honey berkata...

@diana
betul tu..tapi mereka ni nak kaut untung aje

ct N honey berkata...

@Tea Dno
klu dah termakan, nak buat cam ne..mmg susah sekarang ni..kita perlu hati2lah nampaknya

ct N honey berkata...

@Suzie
kita tak tahu, bukan salah kita

ct N honey berkata...

@uLan
kita pun kena hati2 gak, mungkin ada peniaga yg tak nak rugi,tukar bungkusan yg baru...dan di jual semula

ct N honey berkata...

@FaKArePa!n
apa nak buat..kebanyakkan pengusaha makanan bukan orang Islam, jadi senang2 aje mereka mengelirukan pengguna islam

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/