Jumaat, 16 Mac 2012

Bekas Tentera Ditahan Ugut Ibu Dirang Melalui SMS

Polis menahan seorang bekas anggota tentera yang dipercayai membuat ugutan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) terhadap ibu Dirang, kanak-kanak berusia lima tahun yang dibunuh dan dibakar di Masai, Johor.

Lelaki berumur 45 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Pulai Chondong, Machang dekat Kota Bharu kira-kira jam 3 pagi tadi.

Dia dipercayai menghantar SMS untuk mengugut Roselyn Alan, 25, bagi membuat pembayaran sebanyak RM10,000 kononnya bagi mendapatkan semula Dirang yang dilaporkan hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli makanan di sebuah kedai berhampiran rumahnya.

Khamis lalu, kanak-kanak itu disahkan dibunuh dan dibakar selepas ujian DNA mengesahkan mayat rentung yang ditemui di Nusa Damai, Masai adalah mayat Dirang atau nama sebenarnya Nurul Nadirah Abdullah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata polis menemui tiga buah telefon bimbit di rumah suspek dan siasatan lanjut mendapati sebuah daripada telefon tersebut telah digunakan bagi menggugut Roselyn.

Sebelum ini polis Johor telah meminta kerjasama polis Kelantan bagi mengesan suspek yang dipercayai berada di Kelantan.

"Lelaki itu telah direman selama tiga hari bermula hari ini dan kita akan menyerahkan kes ini kepada polis Johor untuk tindakan selanjutnya," kata Jalaluddin kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata suspek merupakan duda yang mempunyai dua orang anak dan bekerja sebagai buruh binaan setelah dipecat dari tentera kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah di mahkamah.

Dia ditahan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 kanun yang sama kerana membuat ugutan jenayah, yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata suspek dipercayai cuba mengambil kesempatan dari kes kanak-kanak itu terhadap keluarga mangsa semasa membuat ugutan berkenaan.




Tiada ulasan:

HAK MILIK : http://cthoney.blogspot.com/