Jumaat, 4 November 2011

Remy Ishak Kawin Dua dalam Telefilem Payung Emas

Pelbagai isu pergolakan rumah tangga yang berlaku pada masa kini seperti masalah zuriat atau poligami memberi idea kepada OutLOUD Studio menerbitkan sebuah telefilem, Payung Emas. Telefilem arahan Jamal Khan ini mengangkat pengorbanan seorang isteri yang sanggup mencarikan isteri baru buat suaminya kerana tidak mampu memberi zuriat.

Payung emas ini diharap dapat memberi pengajaran dan tauladan terutamanya buat pasangan yang sudah berkahwin. Menurut Jamal, idea untuk menerbitkan drama ini adalah daripada cerita pada zaman Rasulullah mengenai seorang wanita bernama Siti Fatimah yang mendapat balasan baik kerana mengutamakan suaminya.

Pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi pengarah ini dan antaranya ketika memberi arahan kepada pelakon Faradhiya yang membawa watak sebagai Ain, wanita yang sanggup berkorban untuk suaminya, lakonan Remy Ishak.

“Saya lelaki, manakala Fara seorang wanita yang belum berkahwin dan sudah tentu menjadi masalah buatnya untuk mendalami emosi seorang wanita bergelar isteri, apatah lagi menjiwai watak seorang yang tidak dapat memberi zuriat. Tidak hanya itu karakter itu memerlukan Fara mencari seorang wanita sekali gus meminangkan wanita itu buat suaminya.

“Saya banyak berbincang dengan Fara, termasuk memintanya agar membawa watak Ain mengikut caranya kerana Ain di dalam skrip digambarkan sebagai wanita yang begitu penyabar dan lemah-lembut.

“Tidak mudah untuk saya kerana realitinya Fara seorang yang begitu agresif. Tapi inilah cabaran yang saya suka kerana ia dapat memberi idea kepada kami,” katanya kepada Zass.

Menurut Jamal lagi, konflik yang berlaku di dalam telefilem ini adalah bergantung kepada watak Ain yang terpaksa melalui banyak cabaran di dalam hidupnya termasuk perlu banyak bersabar setelah hidup bermadu.

“Bagi saya Fara dan Remy berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik sekali. Termasuk juga Hanez Suraya, meskipun dia baru, Hanez berjaya memberikan lakonan seperti yang saya mahu,” katanya.

Jamal berkata dia berharap telefilem ini dapat memberi pengajaran kepada kaum wanita khususnya tentang kesabaran dalam hidup berumah tangga.

Selain itu, kaum lelaki juga boleh mengambil iktibar dalam kesabaran dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Ain.

“Proses penggambaran untuk Payung Emas hampir seminggu. Ia dijangka ditayangkan pada pertengahan 19 November 2011 menerusi slot Cerekarama di TV3.

“Saya berharap penonton akan dapat memahami mesej yang cuba saya sampaikan dan dapat member tauladan kepada semua,” katanya.
Dapatkan kepuasan dalam hubungan suami isteri dengan VibranceKegel


Sinopsis Payung Emas
Telefilem ini mengisahkan Ain yang melalui zaman perkahwinan seperti yang diwasiatkan oleh kakak kembarnya Aisyah. Aisyah meminta Ain berkahwin dengan suaminya, Hidayat sebelum meninggal dunia.

Perkahwinan yang bahagia pada awalnya, mengundang peristiwa duka apabila Ain disahkan tidak boleh hamil akibat penyakit dihidapinya. Tekanan menghimpit Ain apabila Ibu mertuanya meminta Ain membenarkan Hidayat untuk berkahwin lagi.

Meskipun terluka, Ain sendiri meminang Khatijah buat Hidayat. Namun kebahagiaan yang diharap tidak berpanjangan setelah Hidayat kemalangan dan Khatijah pula mengalami tumpah darah. Keadaan semakin tegang apabila Sarah, sepupunya menghasut Ain untuk meninggalkan Hidayat.

Dapatkah Ain melalui perkahwinan yang bahagia dan diredhai seperti diimpikan?



2 ulasan:

cik wanie Lovela (CWL) berkata...

cam best ja

Munn Jaafar berkata...

mcm best cite ni.

tp pnh dgr pasal tiada istilah payung emas dlm islam sebenarnya